GERAK hati menjadi kata kunci Maya Karin sama ada dalam karier
mahupun kehidupan peribadinya. Maya percaya sebagai selebriti dia tidak
mahu sekadar bergelar pelakon tetapi turut menjulang nama selaku
pengacara, duta produk dan aktivis alam sekitar. Kehidupan yang sibuk
itu memerlukan Maya memiliki pasukan pengurusan yang profesional,
efisien dan matang untuk memastikan kelancaran kerja serta mengatur
perancangan masa depannya.
Tanpa perlu tunduk pada kelemahan, Maya mengaku adalah mustahil untuk
dia menguruskan kariernya bersendirian tanpa bantuan jauhari yang
pakar.
"Saya takut akan menimbulkan masalah kemudian hari. Takut kacau-bilau
jadinya nanti. Macam saya, sekiranya berada di lokasi pastinya sukar
untuk berurusan dengan media atau pihak lain yang mahukan komitmen
daripada saya.
"Kalau tidak menjawab panggilan, nanti macam-macam akan timbul. Jadi,
saya memang perlukan pihak pengurusan untuk berbincang dan
menyelesaikan apa yang patut untuk pihak saya.
"Saya tidak boleh menguruskan semua benda bersendirian. Pening
jadinya. Saya percaya artis merupakan produk untuk dijual dan seseorang
artis itu harus fokus pada kerja seni," katanya.
Berbunyi profesional dan dalam bahasa yang lebih konkrit, Maya adalah seorang artis yang bijak menggunakan peluang dan ruang.
Maya faham tahap kemampuannya dan pada waktu yang sama, dia percaya artis juga harus diiringi seorang pengurus.
"Rugilah kalau ada artis yang tidak mahukan pihak pengurusan.
Pengurus itu pula bukan untuk jawab panggilan telefon sahaja, saya
perlukan pengurus yang matang dan boleh melancarkan keperluan serta
merangka perancangan untuk masa depan, ada visi dan membangun
bersama-sama, ke mana arah saya dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Macam dia ada produk untuk dipasarkan," akui Maya, 34, mengenai lonjakan yang dilaluinya.
"Jika semua mahu buat sendiri, tidak mahu berkongsi peratusan dengan
pihak pengurusan, kelak akan merugikan diri sendiri juga," tambahnya.
Setelah meninggalkan pengurusan artis di bawah bumbung Satu
Entertainment, jelitawan Ombak Rindu itu kini menjadi anak naungan label
Warner Music sebagai artis rakaman yang turut menguruskan perjalanan
karier wanita itu bagi tempoh lima tahun.
Percaya pada gerak hati, naluri membenarkan Maya Karin untuk berasa
selesa dengan pilihan-pilihan yang telah dan sedang dilakarinya.
"Sehingga tiga bulan pertama ini, saya cukup selesa. Selesai
pelancaran single, saya boleh pergi bercuti. Sekarang, saya kena kurung
seketika oleh pihak Warner, banyak perkara hendak diuruskan, publisiti
dan rakaman album.
"Ikut perancangan, rakaman akan selesai sebelum puasa dan album dilancarkan selepas hari raya.
"Jadi, sepanjang bulan puasa, saya boleh rehat. Kemungkinan akan ke
London untuk menemani adik saya di sana. Hari raya nanti pun belum
pasti.
"Mungkin pulang atau memujuk ibu agar berkumpul anak-beranak di
London sahaja," beritahu Maya sambil menghitung agendanya sepanjang
bulan puasa dan musim perayaan nanti.
Senang dan mudah sahaja jurnal hidupnya, penjulang variasi anugerah
termasuklah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25,
pelakon ini berpegang kepada prinsip yang sama berhubung soal hati serta
perasaan, terutamanya tentang cinta.
Seperti yang pernah diujarkan sebelum ini, Maya kembali menguak jendela proses untuk mengenali hati budi seseorang.
Namun, tidak pula dia tergesa-gesa untuk mencari perhubungan yang serius.
Bercakap soal teman hidup, Maya mahukan lelaki yang berdikari,
cerdik, menghormati orang lain dan gemarkan aktiviti lasak seperti
dirinya.
Kegagalan perkahwinan pertamanya bersama seorang lelaki Itali
beberapa tahun dahulu mungkin mengganggu keselesaan Maya untuk bercerita
lebih lanjut. Selebihnya dia berserah kepada Tuhan .
Nyanyian
Bintang Syurga sudah pun dilancarkan. Single pertama itu
menyempurnakan impian Maya untuk kembali menyanyi. Kali terakhir dia
merakamkan album adalah sembilan tahun lalu. Penghasilan single dan
seterusnya album studio yang sedang dibikin itu menjadikan Erti Cinta
dan Bukan Qalamaya bukannya noktah terakhir buat Maya cuba membuktikan
keseriusannya untuk bergelar penyanyi.
"Sekitar tahun 2001 hingga 2003, bahasa Melayu saya sendiri tak
berapa bagus sangat. Saya sedar tahap nyanyian saya tidak setanding
dengan karier lakonan tetapi saya suka dan tetap mahu menyanyi. Ia
sesuatu yang menyeronokkan.
MAYA kini berpeluang menumpukan
kariernya dalam bidang muzik dengan menjadi artis rakaman selama lima
tahun di bawah label Warner Music.
|
"Namun, saya juga tidak mahu bercakap besar. Biar pendengar dan
peminat yang menentukan. Saya cuma sangat puas hati dengan konsep lagu
dan album sekarang. Lebih matang, berbentuk pop dan ceria," katanya yang
selesa bekerja dengan Omar K dan Audy Mok.
Menyifatkan Omar K sebagai komposer dan penulis lirik yang mempunyai
banyak sisi, Maya juga yakin komposer itu sendiri mempunyai masa depan
yang bersinar-sinar. Dia mahu dilihat mempunyai penampilan dan vokal
yang lebih matang.
Maya mengharapkan album terbaharu hasil gabungan Audy dan Omar K itu
mampu membawanya ke tahap lebih cemerlang di persada seni suara.
"Saya sudah lancarkan single Bintang Syurga tapi baru-baru ini,
ketika kami sedang borak-borak di studio, Omar tiba-tiba bercerita
tentang sebuah lagu yang telah lama ditulis. Kami cuba-cuba sahaja untuk
jamming dengan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia semacam menjadi
dan sedap didengari.
"Kami rakamkan lagu itu. Pihak Warner bersetuju lagu itu dimasukkan
ke dalam album saya," cerita Maya yang berbaki sekitar tujuh buah lagu
lagi untuk dirakamkan dalam masa terdekat.
Benam aura puntianak
Masih berlegar-legar tentang karier, berselang-seli antara nyanyian
dan lakonan, Maya turut meletakkan Ombak Rindu sebagai gelombang kedua
yang melonjakkan momentum kembara seninya.
"Rasanya selepas watak Izzah, orang mula boleh singkirkan wajah
puntianak yang melekat pada diri saya. Saya kira itu juga sesuatu yang
baik. Sesuatu yang baharu untuk saya.
"Setakat ini masih ada beberapa judul filem lakonan saya yang belum
ditayangkan. Antaranya Lagenda Budak Setan 3, Jwanita, Sejoli dan Nota,
semua itu menampilkan kelainan watak yang ketara.
"Namun untuk tahun ini, rasanya tidak ada filem-filem itu yang akan
memasuki pawagam, mungkin tahun depan. Jadi, itu peluang untuk saya
fokus pada muzik.
"Barangkali Tuhan sudah putuskan yang terbaik buat saya. Selama ini,
saya berusaha untuk muncul dengan single. Sebenarnya sudah ada dua
single yang telah dilancarkan tapi tak juga menjadi," lentur Maya yang
memilih sendiri konsep busana tradisi untuk tatapan peminat kali ini.