Isnin, 17 Jun 2013

2,000 tiket final diberi percuma


IMBAS KEMBALI... Para pemain Johor DT dan Pahang bersalaman selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil awal bulan ini.


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar kecil) akan menghadiahkan 2,000 tiket kepada penyokong Johor yang berhasrat untuk menyaksikan final Piala FA 2013 antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.
Mohamed Khaled berkata demikian melalui laman video yang dimuat naik melalui Facebook dan Twitter peribadinya semalam.

Dalam video berdurasi 1 minit 20 saat itu, beliau antara lain berkata: "Saya berbangga dengan pencapaian pasukan bola sepak negeri Johor sekarang.

"Sebagai tanda sokongan kerajaan (negeri), untuk perlawanan akhir Piala FA 2013, sebanyak 2,000 tiket percuma akan dihadiahkan kepada anak-anak Johor yang ingin menyaksikan perlawanan akhir tersebut."

Bagi mendapatkan tiket-tiket itu, Mohamed Khaled berkata, rakyat Johor diminta melayari laman Facebook miliknya iaitu facebook.com/MohamedKhaledNordin untuk maklumat lanjut.
Mereka antara lain disyaratkan mengambil gambar diri sendiri beridentitikan anak Johor selain mengisi slogan seperti yang diminta.

Menurut Mohamed Khaled, senarai pemenang akan diumumkan sebelum 25 Jun ini.
Johor DT layak ke final Piala FA musim ini selepas menyingkirkan Pahang dalam saingan separuh akhir.

Biarpun kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2, Johor DT lebih layak mara ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Johor DT menang 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebelum tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebagai rekod, kali terakhir Johor mara ke final Piala FA ialah pada 1998 yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu muncul juara selepas mengalahkan Sabah 1-0.

Kelantan pula tampil selaku penyandang juara Piala FA selepas menewaskan Terengganu dengan agregat 6-5.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan