Sabtu, 29 Jun 2013

5,000 peminat meraikan kejayaan skuad Sarawak

Oleh MULLER ASEN


PARA peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan kejayaan Sarawak menjuarai Liga Premier musim ini.


LEBIH 5,000 peminat setia pasukan Bujang Senang membanjiri perkarangan Padang Merdeka di Kuching untuk meraikan kejayaan Sarawak menjulang kejuaraan Liga Premier 2013.

Menariknya, trofi itu dijulang selepas 16 tahun skuad Sarawak kemarau kejuaraan selepas kali terakhir dinobatkan sebagai juara liga tersebut pada tahun 1997.

Sarawak juga pernah menjuarai Piala FA pada tahun 1992 serta Piala Sumbangsih (1998).

Biarpun sekadar kejuaraan ‘kelas kedua’, kejayaan itu sudah cukup menggembirakan para penyokong setia Sarawak bagi melihat skuad kendalian Robert Alberts itu menjulang trofi selepas kejayaan membenam Kuala Lumpur 4-0 Isnin lalu.

Sebelum itu, para pemain serta trofi kejuaraan tersebut diarak dengan menaiki sebuah bas dan melalui beberapa jalan utama di sekitar bandar raya Kuching. 

Pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh para peminat Bujang Senang. 

“Syabas saya ucapkan kepada semua pihak khususnya barisan pemain dan jurulatih yang bekerja keras bagi meletakkan Sarawak sebagai juara Liga Premier tahun ini," katanya. 

Sementara itu, seorang penyokong yang ingin dikenali sebagi Awang Kushairy berkata, kejayaan kali ini harus diingati oleh seluruh peminat skuad Sarawak. 

“Setelah sekian lama kita menunggu untuk bergelar juara, tahun ini impian tersebut sudah tercapai.
“Lebih manis lagi, saya dapat menyaksikan sendiri trofi tersebut di bawa pulang ke bumi Kenyalang,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan