PEMAIN Benfica, Pablo Aimar mengejutkan peminat-peminatnya di negara
ini khususnya di Johor, apabila muncul di sebuah hotel terkemuka di
Johor Bahru kelmarin.
Kehadiran pemain berusia 33 tahun itu disambut sekumpulan penyokong skuad Harimau Selatan selain pekerja-pekerja hotel tersebut.
Difahamkan, pemain yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan
Argentina itu sudah beberapa hari berada di Singapura dan datang ke
Johor kelmarin bagi memenuhi jemputan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
(PBNJ).
Bagaimanapun, pertemuan lebih sejam Aimar bersama Tunku Ismail
dikatakan hanya berkisar mengenai negeri Johor selain mengundang pemain
yang berasal dari Rio Cuarto, Argentina itu untuk mengenali Johor lebih
dekat pada masa akan datang.
Pada pertemuan itu juga tiada perbincangan mengenai urusan membawa pemain itu menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT).
Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan PBNJ berhasrat untuk mendapatkan
khidmat Aimar untuk beraksi dalam Liga Malaysia bersama Johor DT.
Aimar atau lebih dikenali dengan gelaran The Clown telah membuat lebih 50 penampilan di pentas antarabangsa selain pernah beraksi dalam dua pusingan akhir Piala Dunia.
Dia juga pernah beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin
semasa mewakili Argentina pada Piala Remaja Dunia FIFA 1997 yang
menyaksikan Argentina muncul juara.
Aimar yang pernah muncul pemain muda terbaik Argentina, memulakan
kariernya bersama River Plate pada 1995 sebelum menyertai Valencia pada
2001-2006, Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica 2008 hingga kini.
Kontraknya di Benfica dikatakan berakhir tahun depan.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Johor, Azlan Afandi Saufee
Afandi yang turut menyambut kedatangan Aimar di hotel itu berkata,
sebagai peminat bola sepak, dia gembira dengan kehadiran ikon bola sepak
terkemuka ke negeri Johori.
"Kedatangan Aimar atas jemputan Tunku Mahkota Johor. Apa yang
dibincangkan pun kami tidak tahu. Apa yang pasti, kami teruja dapat
berjumpa dengan pemain itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan