Isnin, 17 Jun 2013

Balotelli cetus kontroversi



BALOTELLI (tengah) menanggalkan jersinya selepas meledakkan gol kemenangan 2-1 Itali ke atas Mexico pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana awal pagi semalam.



RIO DE JANEIRO - Pengendali Itali, Cesare Prandelli menyelar tindakan Mario Balotelli ketika menewaskan Mexico 2-1 pada aksi Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Maracana tersebut, penyerang AC Milan berusia 22 tahun itu membuka jersinya bagi meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan Itali pada minit ke-78.

Insiden itu menyebabkan Balotelli dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
"Balotelli tidak sepatutnya bertindak seperti itu (membuka jersi) setiap kali dia menjaringkan gol.
"Dilayangkan kad kuning pada pertandingan seperti ini gara-gara kesalahan tersebut memang satu tindakan yang bodoh," kata Prandelli.

Itali terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Andrea Pirlo pada minit ke-27 sebelum Javier Hernandez mengikat kedudukan pada minit ke-34.

Namun, Prandelli mengakui lega kerana kemenangan itu dianggap sebagai penyuntik moral menjelang aksi kedua kumpulan berdepan Jepun.

"Ia satu perlawanan yang cukup sengit tetapi kami berjaya mendominasi saingan.
"Mexico menghukum kesilapan kami dengan melancarkan serangan balas," katanya.
Prandelli turut menuntut anak-anak buahnya supaya berwaspada dengan ancaman Jepun yang tewas 0-3 kepada tuan rumah, Brazil kelmarin.

"Jurulatih Jepun (Alberto Zaccheroni) cukup memahami corak permainan kami.
"Jadi, kami perlu kekal berwaspada jika mahu membawa pulang tiga mata, sekali gus menjamin slot ke separuh akhir sebelum berdepan Brazil pada aksi terakhir kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Mexico, Jose Manuel de la Torre menganggap kemenangan Itali lebih banyak bergantung kepada keupayaan individu pemain.

"Atas kertas, kemampuan kedua-dua pasukan tidak banyak bezanya. Itali memiliki pemain yang mempunyai skil individu yang tinggi.

"Ada kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum berdepan Brazil," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan