LONDON - Pengurus Napoli, Rafael Benitez cuba membangkitkan semula persengketaan lama dengan Jose Mourinho.
Benitez yang mengakhiri kariernya selaku pengurus sementara Chelsea
menuduh pengurus kelahiran Portugal itu tidak mempunyai perasaan dan
sanggup bersikap kurang ajar dalam usaha memburu kemenangan.
Benitez yang membantu Chelsea memenangi trofi Liga Europa musim lalu
mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual di Sepanyol kelmarin.
"Saya tidak tahu apa yang Mourinho buat tetapi saya tahu apa yang
saya lakukan. Saya sentiasa mahukan kemenangan tanpa bertindak di luar
batasan semangat kesukanan.
"Memang benar saya akan berbaik dengan beberapa jurulatih berbanding
dengan yang lain dan saya juga akan bermusuhan dengan mereka yang
terlalu mahukan kejayaan tanpa sebarang had.
"Saya menyertai akademi Real Madrid ketika berusia 13 tahun dan saya
belajar banyak perkara di sana. Saya diajar supaya menunjukkan rasa
hormat dan menjaga maruah diri di hadapan pihak lawan tidak kira kami
menang atau kalah," kata Benitez.
Ketika diminta mengulas mengenai bulan terakhirnya di Stamford Bridge
meskipun spekulasi tentang Mourinho yang akan menggantikan tempatnya,
bekas pengurus Liverpool itu berkata, beliau tetap memberi fokus
terhadap tugasnya dengan membantu skuad The Blues menjuarai Liga Europa.
"Semua orang di Chelsea tahu Mourinho akan datang semula hujung musim tersebut.
"Namun, ia tidak mematahkan semangat dan cita-cita saya untuk
mencapai objektif kami. Kami telah memenangi trofi Liga Europa. Ia
membuktikan komitmen saya terhadap pasukan itu," katanya.
Sepanjang tiga tahun bersama Real sebelum meninggalkan kelab gergasi
Sepanyol itu untuk kembali membimbing Chelsea akhir musim lalu, Mourinho
sering menjadi sasaran kritikan pihak media kerana melanggar
nilai-nilai yang murni.
Sementara itu, Benitez yakin Carlo Ancelotti merupakan calon yang
paling sesuai untuk menggantikan tempat Mourinho di Real. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan