Isnin, 17 Jun 2013

Bintang Bollywood sorok pasangan


EMRAAN bersama isteri, Parveen dan anak.


KEHIDUPAN personal dan kerjaya mereka, semuanya ingin diketahui peminat. Terima atau tidak, kisah cinta sebenar dan perkahwinan para bintang terkenal Bollywood sememangnya meraih minat umum. 

Dalam pada umum mengenali dengan dekat suami atau isteri bintang-bintang terkenal Bollywood gara-gara publisiti melimpah ruah yang diberikan media, ada segelintir daripada selebriti mereka yang seolah-olah menyorok pasangan hidup masing-masing.

Berikut antara bintang ternama Bollywood bersama pasangan masing-masing yang berjaya menghindari liputan media terhadap kisah peribadi mereka.

1. Emraan Hashmi dan isteri, Parveen Sahani
AKTOR kacak dan sasa, Emraan Hashmi cukup terkenal dengan gelaran 'Pencium Bersiri Bollywood' gara-gara dia sering melakonkan babak bercium dengan pelakon wanita yang digandingkan bersamanya dalam filem-filem lakonannya. Namun siapa sangka dia sebenarnya sudah beristeri, malah sudah mempunyai seorang anak.
Emraan sebenarnya sudah bergelar suami kepada Parveen Sahani sejak tahun 2006. Perkahwinan mereka bagaimanapun berlangsung secara rahsia.

2. Madhuri Dixit dan suami, Dr. Nene
AKTRES yang berstatus diva sehingga kini di Bollywood ini diketahui umum sudah bergelar isteri kepada pakar bedah kardiovaskular, Dr. Shiriram Madhav Nene sejak tahun 1999. Dr. Nene langsung tidak dikenali dalam kalangan media di Bollywood sebelum ini. Lebih menarik, fakta bahawa Mahduri mengahwini Dr. Nene pada tahun 1999 sahaja yang diketahui media. Ini kerana Madhuri tidak pernah bercerita lebih lanjut mengenai suaminya itu mahupun tentang kehidupannya sejak bergelar isteri kepada doktor tersebut.

JUHI dan Jai merupakan sahabat baik sebelum mereka melangsungkan perkahwinan.


3. Ayushmann Khuranna dan isteri, Tahita
PENAMPILAN pelakon, penyanyi dan personaliti televisyen, Ayushmann Khuranna, 28, kelihatan seperti lelaki bujang. Namun dia sebenarnya sudah berkahwin dengan Tahira Kashyap yang merupakan rakan sepermainannya sejak zaman kanak-kanak. Sejak berkahwin pada November, 2011 mereka kini dikurniakan seorang anak lelaki.

4. Madhavan dan isteri, Sarita
BINTANG tersohor filem Tamil, R Madhavan atau dikenali sebagai Madhavan kini hidup bahagia di samping isterinya, Sarita. Namun tidak banyak yang diketahui media tentang Sarita yang pernah menjadi pereka kostum beberapa filem lakonan Madhavan. Madhavan sebenarnya sudah bergelar suami kepada Sarita sebelum dia mencipta nama sebagai pelakon terkenal. Selain itu, tidak banyak yang diketahui tentang Sarita.

5. Juhi Chawla dan suami, Jai
PENYANDANG gelaran Ratu India pada tahun 1984, Juhi Chawla mula mencipta nama sebagai salah seorang aktres popular di Bollywood bermula pertengahan tahun 1980-an. Dia hanya diketahui mengahwini rakan baiknya, Jai Mehta pada tahun 1997. Perkahwinan Juhi dengan ahli bisnes itu dikurniakan dua orang anak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan