Selasa, 18 Jun 2013

Brazil ketepi dendam jumpa Mexico

NEYMAR (tengah) menjalani sesi latihan skuad Brazil di Brasilia semalam sebagai persediaan menentang Mexico pada Piala Konfederasi awal pagi esok. - AGENSI 
 
FORTALEZA - Pertahanan kiri Brazil Marcelo berkata, mereka tidak terfikir untuk membalas dendam ke atas Mexico apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Piala Konfederasi, awal pagi esok.

Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan berkesudahan dengan Mexico mengejutkan juara dunia lima kali itu dengan kemenangan 2-1 pada final Sukan Olimpik London, tahun lalu.

Kekalahan itu cukup menyakitkan Brazil yang belum pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik, tetapi Marcelo mengakui mereka kini dapat menerima hakikat terhadap kekalahan tersebut.
"Kekalahan kepada Mexico tidak memberikan kesan kepada saya, kami tidak melihat perlawanan ini sebagai peluang untuk membalas dendam.

"Sudah tentu saya masih ingat kekalahan pada final Sukan Olimpik dan ia cukup menyedihkan buat pemain serta seluruh Brazil, memang menyukarkan untuk mengatakan kami gagal menembusi kekebalan pertahanan Mexico.

"Kami sedar Mexico mempunyai ramai pemain hebat namun kami adalah Brazil, kami juga mempunyai ramai pemain bintang dan sudah tentu perlawanan itu nanti akan sukar apabila menemukan kedua-dua pasukan, " katanya.

Dia merupakan antara tiga pemain yang melebihi umur 23 tahun dalam skuad Olimpik Brazil tahun lalu.

Brazil memulakan Piala Konfederasi dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas wakil Asia, Jepun melalui jaringan menarik Neymar di Brasilia.
Jika menang ke atas Mexico dalam perlawanan di Estadio Castelao, ia sudah menjamin tempat buat Brazil ke separuh akhir.

Namun Marcelo enggan menyatakan mengenai prospek 'final impian' bertemu juara Piala Dunia, Sepanyol.

"Anda boleh bercakap bahawa Sepanyol bakal menanti kami pada perlawanan akhir, tetapi kejohanan ini baru sahaja bermula.

"Jika kami bertemu mereka pada perlawanan akhir, sudah tentu ia amat baik kerana ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang hebat, namun jangan lupa kami masih perlu berdepan Mexico dan Itali.

"Setiap pasukan mempunyai peluang, termasuk Tahiti, kami tidak berhak untuk memilih siapa lawan kami dalam pusingan seterusnya, " katanya. 

Selain kemenangan pada Sukan Olimpik, Mexico juga berjaya menumpaskan Brazil pada aksi persahabatan terakhir di Texas tahun lalu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan