Ahad, 23 Jun 2013

Brazil pamer belang



AKSI cemerlang Neymar mendapat pujian jurulatih Brazil yang menganggapnya seorang pemain genius ketika menewaskan Itali.


SALVADOR DE BAHIA, Brazil - Aksi cemerlang Brazil pada babak kedua berjaya membantu tuan rumah Kejohanan Piala Konfederasi itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Itali dalam saingan Kumpulan A di Salvador, awal pagi semalam.

Kejayaan itu juga menyaksikan skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak daripada bertemu Sepanyol di separuh akhir.

Mereka setakat ini mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan dan berkemungkinan berjumpa Uruguay di Belo Horizonte awal pagi Khamis ini.

Scolari menjelaskan bahawa Brazil kini sudah mula menunjukkan potensi sebenarnya meskipun menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah memenangi Piala Dunia tahun depan berbanding trofi keempat berturut-turut dalam kempen ini.

"Kami telah berjaya menewaskan pasukan Itali yang kuat dan saya rasa ia membuktikan bahawa kami kini di landasan yang betul.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang harus kami perbaiki dan kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini," jelas Scolari yang pernah membawa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Dalam aksi semalam, Brazil mendahului pada masa kecederaan babak pertama menerusi Dante sebelum Emanuele Giaccherini menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Penyerang sensasi Barcelona, Neymar bagaimanapun kembali meletakkan skuad Samba itu di depan menerusi gol kedua pada minit ke-55 sebelum Fred menjadikan kedudukan 3-1 hasil jaringan minit ke-67.

Itali yang kehilangan khidmat perancang, Andrea Pirlo ekoran kecederaan kembali merapatkan jurang 3-2 menerusi pertahanan Giorgio Chiellini pada minit ke-71 namun Fred sekali lagi tampil menjadi pemusnah kepada The Azurri dengan jaringan pada minit ke-89.
Scolari turut memuji aksi cemerlang Neymar dengan menyifatkan pemain berusia 21 tahun itu seorang yang genius.

"Dia adalah wira kepada rakyat Brazil dan setiap orang yang meminati bola sepak.
"Pergerakannya sangat bagus hari ini dan seorang pemain yang bijak sepertinya mampu membawa perbezaan di atas padang," jelasnya lagi.

Neymar turut diumumkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledakkan gol ketiga dalam tiga perlawanan buat Brazil. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan