Isnin, 17 Jun 2013

Del Bosque gesa Sepanyol ledak lebih banyak gol

Pemain-pemain Sepanyol meraikan jaringan gol Pedro (kiri) menentang Uruguay dalam saingan Kumpulan B Piala Konfederasi di Arena Pernambuco, Recife, semalam. - REUTERS 
 
RECIFE, Brazil - Jurulatih Sepanyol, Vicente Del Bosque mengkritik para pemainnya kerana gagal memanfaatkan peluang menjaringkan lebih banyak gol ketika beraksi cemerlang pada babak pertama permainan menentang Uruguay yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 pada Piala Konfederasi, semalam.

"Kami mendominasi hampir keseluruhan permainan kecuali ketika kami sedang bergelut sehingga menyebabkan kami bolos. Pada hujung permainan kami gembira apabila wisel penamat dibunyikan.
"Kami sepatutnya meledakkan lebih banyak gol dan mungkin akibat keletihan sewaktu menang 2-0 telah memberi kesan kepada pemain. Kami mula memperlahankan permainan dan sebab itu kami bolos di hujung perlawanan," kata del Bosque.

Sepanyol yang mendominasi permainan pada separuh masa pertama dengan 78 peratus penguasaan bola, berjaya membolosi gawang lawan menerusi Pedro Rodriguez dan Roberto Soldado, sementara Cesc Fabregas pula menyaksikan percubaannya mengenai palang.

Juara dunia itu memiliki begitu banyak peluang, terutama gerakan yang dihasilkan menerusi pemain terbaik perlawanan Andres Iniesta.

Uruguay kembali bangkit pada separuh masa kedua dan berjaya menghadirkan ancaman kepada Iker Casillas. Usaha keras mereka itu akhirnya hadir pada minit ke-88 menerusi jaringan Luis Suarez yang hampir mengubah keputusan perlawanan.

"Kami hampir melakukan segala-galanya dengan sempurna, baik dari segi bertahan mahu pun merampas kembali bola daripada lawan dan kami tidak memberi ruang kepada mereka mencipta banyak peluang," kata del Bosque.

Rakan sejawatnya dari Uruguay, Oscar Tabarez terpaksa akur dengan penilaian tersebut dan menerima hakikat bahawa Sepanyol jauh lebih hebat dari setiap sudut. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan