Oleh IZRINDA BADROLHISHAM
JANGAN disangka wanita yang lemah lembut tidak mempunyai bakat
mempertahankan diri. Walaupun Seri, Dewi dan Qistina mempunyai rupa
paras yang cantik, tetapi itu bukan tanda mereka lemah dan mudah
dipergunakan.
Tampil dengan elemen lasak dan romantik, drama bersiri terbaharu, Dewi Lasak
menampilkan barisan pelakon Intan Ladyana (Seri), Bella Dally (Dewi),
Atikah Suhaime (Qistina), Azwan Kombos (Faiz), Bil Azali (Izani
Badaruddin), Niezam Zaidi (Akil Rahmad), Amran Ismail (Joshua Azmi),
Lokman Ghani (Jiman) dan Alon Ezendy (Tony).
Drama bersiri 13 episod terbitan MIG Production yang diarahkan oleh
Pierre Andre dengan nukilan skrip oleh Panel MIG itu mula ditayangkan
hari ini, setiap Rabu, pukul 9 malam menerusi slot Aksi di TV3.
Menurut Pierre, Dewi Lasak merupakan kisah yang sarat dengan elemen drama, percintaan, aksi dan kekeluargaan.
"Sejujurnya, saya rasa Dewi Lasak ini boleh dikatakan sama seperti Charlie's Angles.
Saya sebenarnya suka pada genre komedi apabila dapat peluang ini, apa
salahnya dan saya ingin cuba benda baharu," ujarnya yang mengambil masa
selama 40 hari untuk menyiapkan drama tersebut.
Tambah Pierre, dia lebih senang untuk menjadi pengarah dan sekali gus jurukamera untuk Dewi Lasak.
Ini kerana baginya kepuasan yang dicapai adalah berbeza. Malah,
setelah drama itu siap, Pierre mengaku dia amat berpuas hati dengan
hasil arahan pertamanya dalam genre drama aksi.
Dewi Lasak mengisahkan tentang tiga adik-beradik iaitu Seri (Intan
Ladyana), Dewi (Bella Dally), Qistina (Atikah Suhaime) yang dibesarkan
bersama-sama sejak kecil, namun personaliti mereka amat berbeza dengan
penampilan mereka.
Seri merupakan kakak sulung dan bekerja sebagai wartawan jenayah yang sangat sensitif dengan isu wanita.
Mempunyai raut wajah yang jelita, Seri sentiasa menyibukkan diri
dengan tugasnya kerana ingin menjarakkan dirinya daripada terjerumus
dalam percintaan.
Adik Seri, Dewi pula bersungguh-sungguh mencari calon suami yang
sesuai untuk kakaknya itu. Dewi memiliki sifat tomboi dan sememangnya
tidak suka berdandan.
Adik bongsu Seri dan Dewi, Qistina yang masih menuntut di sebuah
kolej pula seorang yang manja. Oleh kerana pernah menjadi mangsa ragut,
dia tekad untuk belajar seni mempertahankan diri, namun hatinya terpaut
kepada pemilik kelas karate itu, Faiz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan