Sabtu, 22 Jun 2013

Elavarasan sukar menerima kekalahan Terengganu



PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi (dua dari kanan) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.


“PERSEMBAHAN paling teruk musim ini.” Itu rumusan pengendali Terengganu, E. Elavarasan apabila anak-anak buahnya tewas 0-4 kepada Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Perlawanan pertama yang berlangsung pada waktu malam di stadium tersebut musim ini, menyaksikan skuad Penyu kehilangan rentak dan membiarkan pemain pelawat menguasai keseluruhan permainan.

Kelantan yang merupakan finalis Piala FA 2013, memulakan rentak bergaya dan berjaya memperoleh gol pertama seawal minit ke-11 menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi.

Pasukan pelawat menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi Dickson Nwakaeme sebelum Mohd. Norfarhan Mohamad menambah menjaringkan gol ketiga (m-50) diikuti Mohd. Faiz Subri untuk gol keempat (m-55).

Elavarasan berkata, bermain pada waktu malam bukan alasan, sebaliknya ketiadaan tonggak import iaitu Effa Owana dan Vincent Bikana serta penyerang, Abdul Manaf Mamat merencatkan jentera serangan Terengganu.

“Ketiadaan tiga tonggak ini sangat dirasai dan kami perlu melakukan sesuatu bagi menghadapi perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut kelmarin.

Elavarasan berkata, daripada 19 perlawanan Liga Super musim ini, pertemuan tersebut merupakan yang paling buruk buat Terengganu.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak menjelaskan, kemenangan besar yang diperoleh pada pertemuan itu menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk membawa pulang trofi Piala FA musim ini.

“Kami berharap untuk menang sekali lagi pada aksi menentang Pahang sebelum beraksi pada final Piala FA nanti. Kemenangan ke atas Terengganu ini boleh dianggap satu petanda yang baik sebelum menghadapi final Piala FA nanti,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan