Sabtu, 29 Jun 2013

Evra merajuk mahu tinggalkan Old Trafford

LONDON - Patrice Evra bersedia untuk meninggalkan Manchester United, sebaik sahaja pengurus baharu mereka, David Moyes mengorak langkah untuk membawa masuk bek kiri Everton, Leighton Baines.


Pemain senior berusia 32 tahun itu enggan kekal di Old Trafford jika sekadar memainkan peranan sebagai pemain kedua bagi posisi pertahanan kiri. 

Tonggak pertahanan Perancis itu, yang telah membantu United merangkul lima kejuaraan di Liga Perdana Inggeris kini bersedia untuk pulang ke negara asalnya dan menyertai kelab lamanya, Monaco menerusi yuran perpindahan 6 juta pound (RM28.8 juta). 

Khamis lalu, usaha Moyes kembali ke kelab lamanya untuk mendapatkan bek kiri England, Baines tertangguh selepas Everton menolak tawaran awal 12 juta pound (RM57.6 juta).

Pengurusi Everton, Bill Kenwright hanya bersedia untuk melepaskan pemain berusia 28 tahun itu sekiranya United menaikkan tawaran 4 juta pound (RM19.2 juta) lagi menjadi 16 juta pound (RM76.8 juta). 

Evra, yang juga pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama United menjadi pilihan pertama posisi bek kiri sejak tujuh tahun lalu. 

Malah, sejak akhir-akhir ini dia sering menjadi ketua pasukan United sepanjang ketiadaan Nemanja Vidic. 

Pemain yang fasih bercakap dalam empat bahasa itu mempunyai pengaruh besar dalam bilik persalinan pasukan, namun kedudukannya menimbulkan tanda tanya sejak dua musim lalu. 

Evra tiba di United dengan bayaran 5.5 juta pound (RM26.4 juta) dari Monaco pada Januari, 2006 dan kelab Ligue 1 Perancis itu berminat untuk membawanya kembali. 

Baines pula masih memiliki kontrak dua tahun di Everton dan Everton bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya. Namun, prospek dapat menyarung jersi United merupakan godaan besar yang terlalu sukar untuk ditolak pemain England itu. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan