Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi
Ahmad kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mengutip
tiga mata penuh pada pertemuan menentang Felda United kelmarin meskipun
bermain di laman sendiri.
Tegas Fandi, sesetengah pemain tidak beraksi baik dan gagal mengikut
arahan yang diberikan sehingga menyebabkan pasukan pelawat berjaya
mencuri satu mata pada pertemuan itu.
Menurut beliau, ada antara pemain tidak mempunyai semangat juang yang
tinggi dan bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan persembahan
keseluruhan pasukan.
"Saya kecewa dengan keputusan ini, pemain kurang semangat dan
kesungguhan. Kena guna akal untuk bermain, mereka seharusnya berikan 100
peratus atau 200 peratus apabila berada di padang.
"Ia bukan hari untuk kita, ia bukan mudah tetapi saingan masih belum
tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin,
Johor Darul Takzim sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Felda
United.
Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi
pemain gantian, Muhd. Haidin Azman sebelum pemain gantian Felda United,
Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Fandi mengakui persembahan Johor Darul Takzim tidak konsisten
sepanjang musim ini dan dengan keputusan yang dicatatkan itu menyukarkan
lagi laluan mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Super.
Beliau berkata, para pemain seharusnya memperbaiki mutu persembahan
mereka dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain
mengikut arahan yang diberikan.
"Dengan keadaan seperti ini, kemungkinan pada perlawanan terakhir
akan menentukan pemenang. Kita memang tidak konsisten sepanjang musim
tetapi saya percaya kepada keajaiban," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan