Sabtu, 29 Jun 2013

Gelombang kedua Maya Karin




GERAK hati menjadi kata kunci Maya Karin sama ada dalam karier mahupun kehidupan peribadinya. Maya percaya sebagai selebriti dia tidak mahu sekadar bergelar pelakon tetapi turut menjulang nama selaku pengacara, duta produk dan aktivis alam sekitar. Kehidupan yang sibuk itu memerlukan Maya memiliki pasukan pengurusan yang profesional, efisien dan matang untuk memastikan kelancaran kerja serta mengatur perancangan masa depannya. 

Tanpa perlu tunduk pada kelemahan, Maya mengaku adalah mustahil untuk dia menguruskan kariernya bersendirian tanpa bantuan jauhari yang pakar. 

"Saya takut akan menimbulkan masalah kemudian hari. Takut kacau-bilau jadinya nanti. Macam saya, sekiranya berada di lokasi pastinya sukar untuk berurusan dengan media atau pihak lain yang mahukan komitmen daripada saya.

"Kalau tidak menjawab panggilan, nanti macam-macam akan timbul. Jadi, saya memang perlukan pihak pengurusan untuk berbincang dan menyelesaikan apa yang patut untuk pihak saya. 

"Saya tidak boleh menguruskan semua benda bersendirian. Pening jadinya. Saya percaya artis merupakan produk untuk dijual dan seseorang artis itu harus fokus pada kerja seni," katanya.

Berbunyi profesional dan dalam bahasa yang lebih konkrit, Maya adalah seorang artis yang bijak menggunakan peluang dan ruang. 

Maya faham tahap kemampuannya dan pada waktu yang sama, dia percaya artis juga harus diiringi seorang pengurus.

"Rugilah kalau ada artis yang tidak mahukan pihak pengurusan. Pengurus itu pula bukan untuk jawab panggilan telefon sahaja, saya perlukan pengurus yang matang dan boleh melancarkan keperluan serta merangka perancangan untuk masa depan, ada visi dan membangun bersama-sama, ke mana arah saya dalam tempoh lima tahun akan datang. 

"Macam dia ada produk untuk dipasarkan," akui Maya, 34, mengenai lonjakan yang dilaluinya.
"Jika semua mahu buat sendiri, tidak mahu berkongsi peratusan dengan pihak pengurusan, kelak akan merugikan diri sendiri juga," tambahnya.

Setelah meninggalkan pengurusan artis di bawah bumbung Satu Entertainment, jelitawan Ombak Rindu itu kini menjadi anak naungan label Warner Music sebagai artis rakaman yang turut menguruskan perjalanan karier wanita itu bagi tempoh lima tahun.

Percaya pada gerak hati, naluri membenarkan Maya Karin untuk berasa selesa dengan pilihan-pilihan yang telah dan sedang dilakarinya.

"Sehingga tiga bulan pertama ini, saya cukup selesa. Selesai pelancaran single, saya boleh pergi bercuti. Sekarang, saya kena kurung seketika oleh pihak Warner, banyak perkara hendak diuruskan, publisiti dan rakaman album.


"Ikut perancangan, rakaman akan selesai sebelum puasa dan album dilancarkan selepas hari raya.
"Jadi, sepanjang bulan puasa, saya boleh rehat. Kemungkinan akan ke London untuk menemani adik saya di sana. Hari raya nanti pun belum pasti. 

"Mungkin pulang atau memujuk ibu agar berkumpul anak-beranak di London sahaja," beritahu Maya sambil menghitung agendanya sepanjang bulan puasa dan musim perayaan nanti.

Senang dan mudah sahaja jurnal hidupnya, penjulang variasi anugerah termasuklah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25, pelakon ini berpegang kepada prinsip yang sama berhubung soal hati serta perasaan, terutamanya tentang cinta.

Seperti yang pernah diujarkan sebelum ini, Maya kembali menguak jendela proses untuk mengenali hati budi seseorang.

Namun, tidak pula dia tergesa-gesa untuk mencari perhubungan yang serius.
Bercakap soal teman hidup, Maya mahukan lelaki yang berdikari, cerdik, menghormati orang lain dan gemarkan aktiviti lasak seperti dirinya. 

Kegagalan perkahwinan pertamanya bersama seorang lelaki Itali beberapa tahun dahulu mungkin mengganggu keselesaan Maya untuk bercerita lebih lanjut. Selebihnya dia berserah kepada Tuhan .

Nyanyian
Bintang Syurga sudah pun dilancarkan. Single pertama itu menyempurnakan impian Maya untuk kembali menyanyi. Kali terakhir dia merakamkan album adalah sembilan tahun lalu. Penghasilan single dan seterusnya album studio yang sedang dibikin itu menjadikan Erti Cinta dan Bukan Qalamaya bukannya noktah terakhir buat Maya cuba membuktikan keseriusannya untuk bergelar penyanyi.

"Sekitar tahun 2001 hingga 2003, bahasa Melayu saya sendiri tak berapa bagus sangat. Saya sedar tahap nyanyian saya tidak setanding dengan karier lakonan tetapi saya suka dan tetap mahu menyanyi. Ia sesuatu yang menyeronokkan.
MAYA kini berpeluang menumpukan kariernya dalam bidang muzik dengan menjadi artis rakaman selama lima tahun di bawah label Warner Music.


"Namun, saya juga tidak mahu bercakap besar. Biar pendengar dan peminat yang menentukan. Saya cuma sangat puas hati dengan konsep lagu dan album sekarang. Lebih matang, berbentuk pop dan ceria," katanya yang selesa bekerja dengan Omar K dan Audy Mok.

Menyifatkan Omar K sebagai komposer dan penulis lirik yang mempunyai banyak sisi, Maya juga yakin komposer itu sendiri mempunyai masa depan yang bersinar-sinar. Dia mahu dilihat mempunyai penampilan dan vokal yang lebih matang.

Maya mengharapkan album terbaharu hasil gabungan Audy dan Omar K itu mampu membawanya ke tahap lebih cemerlang di persada seni suara.

"Saya sudah lancarkan single Bintang Syurga tapi baru-baru ini, ketika kami sedang borak-borak di studio, Omar tiba-tiba bercerita tentang sebuah lagu yang telah lama ditulis. Kami cuba-cuba sahaja untuk jamming dengan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia semacam menjadi dan sedap didengari.

"Kami rakamkan lagu itu. Pihak Warner bersetuju lagu itu dimasukkan ke dalam album saya," cerita Maya yang berbaki sekitar tujuh buah lagu lagi untuk dirakamkan dalam masa terdekat.

Benam aura puntianak
Masih berlegar-legar tentang karier, berselang-seli antara nyanyian dan lakonan, Maya turut meletakkan Ombak Rindu sebagai gelombang kedua yang melonjakkan momentum kembara seninya.
"Rasanya selepas watak Izzah, orang mula boleh singkirkan wajah puntianak yang melekat pada diri saya. Saya kira itu juga sesuatu yang baik. Sesuatu yang baharu untuk saya.

"Setakat ini masih ada beberapa judul filem lakonan saya yang belum ditayangkan. Antaranya Lagenda Budak Setan 3, Jwanita, Sejoli dan Nota, semua itu menampilkan kelainan watak yang ketara. 

"Namun untuk tahun ini, rasanya tidak ada filem-filem itu yang akan memasuki pawagam, mungkin tahun depan. Jadi, itu peluang untuk saya fokus pada muzik.

"Barangkali Tuhan sudah putuskan yang terbaik buat saya. Selama ini, saya berusaha untuk muncul dengan single. Sebenarnya sudah ada dua single yang telah dilancarkan tapi tak juga menjadi," lentur Maya yang memilih sendiri konsep busana tradisi untuk tatapan peminat kali ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan