Rabu, 26 Jun 2013

Gilardino ganti Balotelli


XAVI Hernandez (tengah) menjalani latihan bersama David Villa (kiri) dan Juan Mata di Fortaleza, semalam. - AFP 
 
FORTALEZA, Brazil - Alberto Gilardino bakal mengetuai serangan Itali menggantikan Mario Balotelli yang cedera apabila pasukan itu menentang Sepanyol dalam separuh akhir Piala Konfederasi awal pagi esok.

Balotelli terpaksa menarik diri daripada kejohanan selepas mengalami kecederaan paha kiri, situasi yang memeningkan jurulatih Cesare Prandelli untuk mencari pemain yang mampu menggantikan penyerang Itali paling berpengaruh sejak 12 bulan lalu itu.

Gilardino merupakan anggota skuad yang merasai kegemilangan pada Piala Dunia 2006 di Jerman dan walaupun hanya beraksi empat minit dalam Piala Konfederasi, pemain Bologna berusia 30 tahun itu dijangka mampu memberikan impak apabila menentang Sepanyol nanti.

"Ketiadaan Balotelli merupakan kehilangan besar buat kami. Kami tahu betapa bagusnya dia dan apa yang dia sumbangkan kepada pasukan pada kejohanan ini.

"Kami bersimpati kerana dia terpaksa pulang. Dia benar-benar mahu beraksi menentang Sepanyol, namun ada pemain yang bersedia menggantikan tempatnya, yang mahu beraksi dan memberikan yang terbaik.

"Kami ada Gilardino, yang tahu bagaimana untuk mencipta jaringan dan saya yakin dia mampu melaksanakan tugasnya dengan baik," kata pemain Itali, Claudio Marchisio.

Marchisio berkata, prestasi mengkagumkan Balotelli pada saingan peringkat kumpulan dengan menjaringkan gol ketika menentang Mexico dan Jepun, adalah tanda pemain berusia 22 tahun itu semakin matang.

"Dia beraksi pada bahagian depan, dia cuba memberikan yang terbaik dan dia masih mampu memberikan kelainan, seperti mana ketika menentang Mexico (apabila Balotelli menjaringkan gol kemenangan untuk Itali menang 2-1)," katanya.

Sepanyol ke separuh akhir dengan mengalahkan Uruguay 2-1, membelasah Tahiti 10-0 sebelum mengalahkan Nigeria 3-0.

Ditanya bagaimana untuk menyekat gandingan pemain yang mewakili Barcelona, Xavi dan Andres Iniesta yang kerap menguasai bahagian tengah, Marchisio berkata: "Mereka adalah yang terbaik pada posisi tengah. Kami tahu kekuatan Sepanyol adalah penguasaan bola mereka dan itulah yang kami usahakan sejak beberapa hari lalu," katanya.

Itali tetap menerima khabar gembira apabila pemain tengah, Andrea Pirlo kembali menjalani latihan penuh setelah tidak beraksi ketika Itali kalah 2-4 kepada Brazil akibat kecederaan betis. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan