Selasa, 18 Jun 2013

Guardiola sesuai untuk generasi baru Bayern

BERLIN - Pep Guardiola akan mengadakan sidang akhbar pertama sebagai jurulatih baharu Bayern Munich Isnin depan ketika bekas bos Barcelona itu diumumkan sebagai individu paling layak untuk menerajui generasi baru pemenang Liga Juara-Juara Eropah itu.

Jupp Heynckes menamatkan tugasnya sebagai jurulatih Bayern Jun setelah membawa kelab Bavaria itu mencatat sejarah kejuaraan treble apabila muncul kelab Jerman pertama memenangi kejuaraan liga, Piala Jerman dan kejuaraan Eropah dalam musim yang sama.

Hanya generasi terhebat Bayern pada era 1970-an yang menyamai pencapaian tersebut apabila memenangi tiga kejuaraan Eropah berturut-turut mulai 1974-1976.

Heynckes menyokong Guardiola untuk membina kejayaan Bayern dengan menegaskan pelantikan jurulatih dari Sepanyol itu 'adalah keputusan tepat untuk generasi baru'.

"Saya ucapkan selamat berjaya kepada Guardiola dan semoga menjulang banyak kejayaan, kerana pasukannya pernah menjadi pasukan saya.

"Saya gembira jika Bayern sekali lagi menang Bundesliga dan Liga Juara-Juara," kata Heynckes.
Memenangi 14 kejuaraan sepanjang empat musim di Barcelona, ini merupakan pelantikan pertama Guardiola setelah berehat selama setahun bersama keluarganya di New York, di mana menurut abangnya, jurulatih itu belajar bahasa Jerman.

Bayern berkata, sidang akhbar pertama Guardiola akan diadakan di Allianz Arena Isnin ini di mana jurulatih itu akan menunjukkan keupayaannya bertutur dalam bahasa Jerman.

"Pep belajar bahasa Jerman empat jam setiap hari," kata abangnya, Pere Guardiola.

Guardiola akan memulakan latihan pertama bersama skuad Bayern pada 26 Jun ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan