Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
SHAH ALAM - Tiada kejutan. Seperti diramal
Datuk Hamidin Mohd. Amin diumumkan sebagai Setiausaha Agung Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad
yang dipilih Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mulai 1
Julai ini.
Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah mengumumkan perkara itu pada sidang
media khas di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Subang, semalam.
Sultan Ahmad Shah mengakui telah berfikir jauh sebelum membuat keputusan melantik Hamidin untuk menjawat 'kerusi panas' FAM itu.
"Azzuddin akan menjadi Setiausaha Agung AFF mulai 1 Julai ini dan dia menerima pelantikan tersebut.
"Saya membuat keputusan melantik Datuk Hamidin Mohd. Amin sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu.
"Sehubungan itu, sebagai Setiausaha Agung FAM, dia perlu melepaskan
semua jawatan dalam FAM termasuk Naib Presiden dan Setiausaha FAS
(Persatuan Bola Sepak Selangor) serta-merta, " titah baginda semalam.
Baginda mengucapkan penghargaan di atas segala usaha Azzuddin selama di FAM dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan di AFF.
"Sepanjang enam tahun bersusah-payah bersama FAM dari masa ke semasa
terutamanya ketika berdepan kritikan-kritikan dari pihak luar, "
katanya.
Hamidin merupakan Setiausaha Agung ketujuh yang dilantik dalam
sejarah FAM selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu
(1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan
Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azzuddin
(2007-2013).
Buat masa ini, Hamidin turut menjawat salah satu portfolio yang
dianggap paling kanan di FAM iaitu Jawatankuasa Pertandingan Tempatan
(JKPT) dan menjadi Setiausaha Agung FAS sejak 1998.
Sementara itu, Azzuddin yang ditemui mengakui pelantikan beliau
sebagai Setiausaha Agung AFF yang baru adalah satu penghormatan
tertinggi, selain mengakui berpuas hati dengan apa yang beliau lakukan
sebelum meninggalkan FAM.
"Saya bernasib baik kerana pencapaian skuad Bawah 23 dan skuad
kebangsaan bertambah baik sepanjang saya di FAM, Kita juga memenangi
pingat emas Sukan SEA dua kali berturut-turut dan kejuaraan Piala AFF
buat kali pertama.
"Sejak saya mengambil alih jawatan Setiausaha Agung FAM pada
September 2007, saya memperbaiki struktur komunikasi antara ketua-ketua
jabatan dengan Sekretariat FAM serta memperbaiki tahap prasarana dan
kemudahan bola sepak negara, " katanya.
Katanya, visinya bersama AFF adalah untuk mewujudkan rangkaian kerjasama yang mantap di kalangan negara Asia Tenggara.
"Antara matlamat utama saya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan 11
negara anggota AFF di samping mempertingkatkan lagi mutu bola sepak di
rantau ini.
"Di samping itu, melalui mesyuarat AFF yang berlangsung baru-baru ini
di Phnom Penh (Kemboja), usaha pelaksanaan ASEAN Super League kini
telah memasuki 70 peratus dan hanya menanti untuk kelulusan, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan