LONDON - 'Raja Wimbledon', Roger Federer dan
Maria Sharapova mengalami kejutan apabila kalah pada pusingan kedua
kepada lawan yang menduduki ranking di luar kelompok 100 dunia pada hari
penuh dramatik yang menyaksikan tujuh pemain menarik diri.
Pilihan kedua, Victoria Azarenka, pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga
malah Steve Darcis, pemain yang mencatat kejutan terbesar menyingkirkan
Rafael Nadal pada hari pertama kejohanan, antara pemain yang menarik
diri akibat kecederaan.
Ketika semakin ramai calon juara yang kecundang, malah sesetengahnya
menarik diri sebelum memulakan perlawanan, pemain tuan rumah, Andy
Murray lega apabila mengelak kejutan setelah menang pusingan kedua ke
atas pemain Taiwan, Lu Yen-Hsun.
Harapan Murray untuk menjadi calon juara semakin cerah selepas ketiadaan Nadal, Federer dan pemain pilihan keenam, Tsonga.
Sehari selepas aksi yang menyaksikan Federer tergelincir, terjatuh
dan mengalami sakit bahu serta lutut, juara tujuh kali itu dijangka
menang mudah apabila masuk ke gelanggang menentang pemain Ukraine,
Sergiy Stakhovsky.
Tiga jam kemudian, apa yang disifatkan bekas juara, John McEnroe
sebagai 'hari paling gila', impian Federer untuk merangkul kejuaraan
kelapan berakhir.
Melakukan servis cara lama, juga gaya pukulan voli yang sepatutnya
tidak lagi dimainkan, pemain berusia 27 tahun yang menduduki ranking
ke-116 dunia, menang 6-7(5), 7-6(5), 7-5, 7-6(5) untuk menyekat pilihan
ketiga, Federer daripada mara ke suku akhir 36 kali berturut-turut pada
kejohanan grand slam.
"Saya masih tidak percaya. Saya mempamerkan aksi terbaik dalam
permainan saya. Apabila anda berdepan Roger Federer, ia umpama anda
menentang dua orang pemain," kata Stakhovsky.
Pilihan ketiga, Sharapova pula kalah kepada pemain Portugal, Michelle
Larcher de Brito namun gagal mengatasi pemain dari pusingan kelayakan
itu akibat kerap tergelincir dan kalah 6-3, 6-4.
Sharapova memerlukan rawatan selama 10 minit akibat terjatuh dan menyifatkan permukaan gelanggang 'merbahaya'.
"Saya rasa tidak pernah terjatuh dalam perlawanan dalam karier saya, jadi ini menimbulkan keraguan," kata Sharapova.
Pilihan kesembilan, Caroline Wozniacki juga terjatuh ketika kalah
kepada pemain Republik Czech, Petra Cetkovska manakala pilihan kedua,
Azarenka tidak sempat untuk memulakan perlawanan menentang pemain Itali,
Itali, Flavia Pennetta kerana kecederaan lutut kerana terjatuh ketika
perlawanan pusingan pertama.
Tsonga pula tidak menyalahkan gelanggang akibat kecederaan lutut yang
memaksa dia menghentikan perlawanan ketika menentang pemain Latvia,
Ernests Gulbis manakala pemain Republik Czech, Radek Stepanek juga
menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan kepada pemain Poland,
Jerzey Janowicz. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan