Sabtu, 29 Jun 2013

Harimau Selatan sedia mengaum

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak (kiri) dan jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad bergambar bersama Piala FA selepas sidang akhbar menjelang final Piala FA 2013 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad mengakui skuad kendaliannya sudah bersedia untuk mengejutkan pasukan pilihan, Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Pengendali kelahiran Singapura itu optimis bahawa Harimau Selatan mampu menyekat misi The Red Warriors yang berhasrat mempertahankan kejuaraan yang diraih pada tahun lalu.

Fandi menyifatkan pasukan bimbingannya memiliki kualiti dan kesungguhan dalam usaha melakar kejuaraan pertama buat Johor DT pada musim ini.

Jelasnya, beliau akan memutuskan kesebelasan terbaik Harimau Selatan petang ini.

"Buat masa ini, saya masih belum memutuskan kesebelasan utama dan perkara paling mustahak adalah menyaksikan persembahan pemain pada sesi latihan terakhir hari ini (semalam).

"Saya perlu memastikan pemain-pemain bersedia 100 peratus kerana perlawanan ini merupakan pertarungan penting dan kita harus berjuang untuk habis-habisan. 

"Misi kami adalah untuk menjulang Piala FA walaupun menyedari ia bukan tugas yang mudah. Saya tahu Kelantan adalah pasukan pilihan tetapi kami sudah bersedia untuk mengecewakan mereka esok (hari ini).

"Ramai mengatakan kami cukup bertuah dalam saingan Piala FA, tetapi saya berpendapat kami memiliki semangat juang yang tinggi.

"Kami bermula dengan menentang Perak, Kedah, Selangor dan Pahang. Saya fikir, pada perlawanan-perlawanan tersebut, kami telah menunjukkan kualiti dan keupayaan tersendiri selain membuktikan semangat juang yang tinggi.

"Saya harap, berbekalkan komitmen dan disiplin, kami mampu menjuarai Piala FA pada edisi kali ini," katanya pada sidang akhbar menjelang final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Dalam perkembangan sama, Fandi yakin pertembungan pasukan gergasi Selatan dan Pantai Timur itu tidak berlarutan sehingga ke masa tambahan.

Katanya, biarpun menyaksikan barisan pemainnya dilihat keletihan selain masalah berdepan kecederaan, Fandi yakin skuad kendaliannya masih berupaya mempamerkan persembahan positif.
"Bukan mudah beraksi tiga perlawanan dalam masa seminggu. Ada pemain yang cedera dan menunjukkan kepenatan.

"Namun, saya tidak risau kerana saya percaya dan yakin bahawa Johor DT sudah bersedia dengan misi memburu Piala FA.

"Saya juga yakin bahawa perlawanan ini akan diselesaikan dalam masa 90 minit kerana kedua-dua pasukan tidak rela menerima kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan