Rabu, 26 Jun 2013

Indra ingin ulangi 'magis'


Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Tonggak berpengalaman Kelantan, Indra Putra Mahyuddin bertekad mahu mengulangi 'magis' pada aksi akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Indra menjulang Kelantan merangkul kejuaraan Piala Malaysia menerusi jaringan cantik ketika menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) musim lalu, berharap tuah perlawanan akhir sekali lagi berpihak pada musim ini.

Turun selaku pemain yang penuh dengan pengalaman, anak kelahiran Perak itu mahu membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi pada tahun lalu.

"Insya-Allah jika dapat bermain, saya bukan sahaja berjanji akan mempamerkan aksi terbaik malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan dalam perlawanan akhir ini.

"Saya percaya ini merupakan satu pertemuan sengit dan ditunggu-tunggu semua pihak memandangkan Johor DT turut dibarisi ramai pemain bertaraf bintang," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mengulas peluang pasukannya pada perlawanan itu, Indra memberitahu, dia yakin Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan tersebut berdasarkan reputasi semasa pasukannya.

Dia yang masih dibelenggu kecederaan lutut mengakui sedang bergelut dengan masa untuk pulih sepenuhnya menjelang aksi perlawanan akhir edisi ke-24 pada Sabtu ini.

Pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim 2004 itu turut menyifatkan aksi perlawanan akhir kali ini cukup sentimental setelah tiga musim bersama Kelantan dan puas meraih pelbagai trofi yang dipertandingkan dalam liga tempatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan