MADRID - Real Madrid dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan
Malaga berhubung perpindahan perancang Sepanyol yang berusia 21 tahun,
Isco.
Kelab gergasi Sepanyol itu dijangka mengemukakan harga £25.6 juta
(RM126.5 juta) ke atas pemain tersebut yang menjadi buruan beberapa
kelab gergasi Eropah berikutan prestasi cemerlangnya musim ini.
"Real Madrid dan Malaga secara dasarnya telah mencapai persetujuan ke
atas perpindahan pemain itu semalam (kelmarin)," kata kenyataan
daripada Real.
"Dengan beberapa lagi maklumat terperinci mengenai kontrak pemain itu
bakal diselesaikan, dia akan menyertai Real untuk tempoh lima musim
akan datang.
"Perjanjian ini akan diumumkan secara rasmi minggu depan dengan
kehadiran pemain itu dalam satu majlis pengenalan awal Julai depan."
Isco merupakan pemain bintang sensasi Malaga dengan meledakkan tiga
gol ketika membantu kelab tersebut mara ke suku akhir Liga Juara-Juara
dalam penampilan pertama mereka.
Pemain itu juga turut mencipta hatrik dalam aksi final yang
menyaksikan Sepanyol mempertahankan gelaran Kejohanan Bawah 21 Eropah di
Israel awal bulan ini.
Bekas pemain Valencia itu juga mengakui minggu lepas bahawa dia telah
menerima tawaran daripada Real dan Manchester City yang mana
berkemungkinan menyertai bekas jurulatihnya di Malaga, Manuel
Pellegrini.
Begitupun, destinasi pilihan pemain tersebut adalah Real dan
persetujuan daripada Zinedine Zidane telah menyakinkan presiden kelab
tersebut, Florentino Perez untuk menjadikan perancang itu sebagai pemain
pertama dibeli pada musim panas ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan