Selasa, 25 Jun 2013

Itali ditimpa malang

BALOTELLI (kanan) tiba di lapangan terbang di Fortaleza, Brazil untuk kembali ke Itali bagi merawat kecederaan paha yang dialaminya kelmarin.


FORTALEZA, Brazil - Itali terpaksa melupakan khidmat penyerang kontroversi, Mario Balotelli pada aksi separuh akhir Piala Konfederasi 2013 di Stadium Castelao awal pagi Jumaat ini.

Jurulatih skuad The Azzurri, Cesare Prandelli mengambil keputusan untuk menghantar Balotelli pulang ke Itali bagi merawat kecederaan paha yang dialaminya selepas berbincang dengan doktor pasukan, Enrico Castellacci.

"Saya rasa seperti seorang yang tidak berguna kerana meninggalkan kempen ini dengan cara seperti ini. 

"Kalau boleh, saya mahu terus berada di sini tetapi AC Milan akan beraksi pada pusingan awal Liga Juara-Juara musim depan. Jadi, saya kena jaga diri saya sendiri.

"Bagaimanapun, rakan sepasukan saya akan beraksi dengan baik walaupun tanpa kehadiran saya," kata Balotelli sebaik meninggalkan hotel pasukan semalam.

Balotelli mengalami kecederaan pada paha kirinya ketika Itali tewas 2-4 kepada Brazil pada aksi terakhir Kumpulan A awal pagi Ahad lalu.

Dia merupakan peledak berbisa skuad The Azzurri setakat ini selepas menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Mexico serta menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 4-3 ke atas Jepun.

"Dia (Balotelli) sangat sedih dengan kecederaan ini tetapi dia juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih daripada kecederaan itu.

"Kami mengambil keputusan untuk menghantarnya pulang ke Itali tanpa sebarang tekanan daripada Milan. Kami hanya menggunakan pertimbangan kami," kata Prandelli.

Alberto Gilardino dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi menggantikan tempat Balotelli jika Prandelli masih mahu menggunakan formasi seorang penyerang.

Prandelli juga masih memiliki beberapa alternatif lain di posisi serangan seperti Emanuele Giaccherini, Stephan El Shaarawy, Sebastian Giovinco, Alessio Cerci atau Alessandro Diamanti.

"Tanpa Balotelli, kami terpaksa bekerja lebih keras secara berpasukan. Jadi, kami akan cuba melakukannya," kata Prandelli. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan