Selasa, 18 Jun 2013

Itali, Jepun buru tiga mata



ZACCHERONI (kiri) berbincang bersama Endo (kanan) dengan bantuan seorang penterjemah pada sesi latihan skuad Jepun di Stadium Walmir Campelo di Gama, Brasilia kelmarin.



RECIFE, Brazil - Tiga mata menjadi buruan juara dunia tiga kali, Itali dan juara Asia, Jepun pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana awal pagi esok.
Sekiranya berjaya menewaskan Jepun, skuad The Azzurri menghampiri slot separuh akhir selepas berjaya menewaskan Mexico 2-1 kelmarin.

Bagi skuad Samurai Biru pula, mereka perlu menang bagi mengidupkan semula peluang ke separuh akhir selepas dibelasah tuan rumah, Brazil 0-3 pada aksi pembuka tirai Ahad lalu.

Kekalahan bakal menyukarkan peluang skuad kendalian Alberto Zaccheroni yang masih segar dengan kejayaan muncul pasukan pertama menyambar slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2014.
"Kami tidak boleh mengulangi kesilapan seperti mana yang dilakukan ketika bertemu Brazil.

"Saya percaya, kemampuan kami tidak boleh diukur semata-mata pada perlawanan itu," kata perancang tengah Jepun, Yasuhito Endo.

Rakan sepasukan Endo, Yuto Nagatomo turut mendesak rakan-rakan sepasukan supaya berhati-hati dengan penyerang berbisa, Mario Balotelli yang mencetak gol kemenangan Itali.

Nagatomo berkata, dia sudah mengetahui formula untuk mengekang pergerakan penyerang kontroversi yang juga rakan sepasukannya di Inter Milan itu.

"Kami perlu mengawal pergerakan Balotelli, dia seorang penyerang yang lincah serta memiliki kelebihan fizikal," katanya.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan Itali, Giorgio Chiellini enggan rakan-rakan sepasukannya berasa selesa meskipun kini berkongsi tiga mata dengan Brazil.

"Kami perlu mengulangi persembahan ketika berdepan Mexico pada pertemuan menentang Jepun, sekali gus mencerahkan peluang ke separuh akhir," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan