Sabtu, 29 Jun 2013

Itali terpaksa akur kehebatan La Roja

FORTALEZA, Brazil - Pengendali Itali, Cesare Prandelli menggesa anak-anak buahnya supaya mencontohi Sepanyol sebaik tumpas menerusi penentuan sepakan penalti 6-7 dalam aksi separuh akhir Piala Konfederasi 2013 di Fortaleza awal pagi semalam.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sebaik masa sebenar perlawanan tamat, tonggak pertahanan The Azzurri, Leonardo Bonucci gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi di Estadio Castelao itu untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad La Roja apabila Jesus Navas tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir sekali gus mara ke pentas final untuk berdepan Brazil, Isnin ini.

Keputusan itu jelas gagal mengubati kekecewaan Itali yang turut tumpas 0-4 kepada Sepanyol dalam final Euro 2012.

Biarpun menguasai babak pertama, skuad kendalian Prandelli yang menggunakan formasi 3-4-2-1 gagal memecahkan penguasaan Sepanyol di bahagian tengah.

Peluang terbaik Itali hadir menerusi percubaan Emanuele Giaccherini yang sekadar terkena tiang pada masa tambahan.

Enggan menyalahkan pemainnya, Prandelli mahu anak-anak buahnya mencontohi persembahan Sepanyol yang menggunakan taktik tiki-taka sejak lima tahun lalu.

"Sepanyol muncul pasukan yang terbaik sejak kebelakangan ini dan kami perlu mencontohi mereka.
"Kami berjaya memberikan saingan dan mengheret perlawanan sehingga ke penentuan sepakan penalti namun nasib tidak menyebelahi kami," kata Prandelli.

Dengan keputusan itu, Itali bakal berdepan Uruguay dalam penentuan tempat ketiga, Isnin ini.
Pada masa sama, Prandelli percaya kekalahan itu bakal memberikan keyakinan kepada pemainnya supaya tidak mengambil mudah sebarang cabaran selepas ini.

"Perlawanan ini ujian yang cukup bagus buat kami dan saya percaya kami berjaya melepasi ujian itu biarpun keputusan tidak memihak kepada kami.

"Kami berjaya membuktikan bahawa kami memiliki kualiti untuk berjuang habis-habisan.
"Cuma, saya harap format pertandingan selepas ini dikaji semula kerana kami tampak keletihan dan memerlukan lebih masa untuk berehat sebelum kembali beraksi," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan