RECIFE, Brazil - Seorang gembira manakala seorang
lagi mengeluh selepas Itali melangkah ke separuh akhir Piala
Konfederasi semalam dengan menyingkirkan pasukan degil, Jepun 4-3.
Biarpun Cesare Prandelli sedikit kecewa dengan benteng pertahanannya,
namun dia tetap memuji semangat juang yang ditunjukkan skuad Azzurri ketika bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tempoh 33 minit pertama.
Namun, bagi rakan senegaranya, Alberto Zaccheroni perlawanan semalam memberi perasaan bercampur baur.
Dia menghormati kebangkitan pasukan negara kelahirannya, tetapi sebagai pengendali Jepun dia kecewa kerana Blue Samurai terlepas peluang terbaik untuk melakar kejutan besar.
Prandelli melancarkan perang psikologi sebelum saingan bermula dengan
mengatakan Jepun adalah pasukan pilihan dalam perlawanan tersebut,
sekali pun juara Asia itu tidak memiliki rekod memenangi empat Piala
Dunia seperti lawan mereka.
Dalam sebahagian besar perlawanan, Jepun mempamerkan aksi terpuji
sehinggalah pemain gantian, Sebastian Giovinco menjaringkan gol dramatik
untuk memastikan kemenangan Itali, empat minit sebelum tamat permainan.
"Kami turun berhabis-habisan untuk mencari kemenangan kerana kami
belum memungut sebarang mata," kata Zaccheroni, yang menyaksikan
pasukannya bermula baik dengan mendahului 2-0 menerusi sepakan penalti
Keisuke Honda dan jaringan Shinji Kagawa.
Selepas Itali menafikan impian naib juara Piala Konfederasi 2001 itu
untuk ke separuh akhir, Zaccheroni berkata, walaupun mengalami dua
kekalahan, namun kejohanan ini berguna untuk mengutip pengalaman
antarabangsa.
"Perbezaan pengalaman dalam perlawanan antarabangsa memang jelas, tetapi saya tidak fikir kualiti kami lebih rendah.
"Perlawanan ini sangat menarik, ia mengingatkan saya kepada keputusan
4-3 pada separuh akhir Piala Dunia 1970 antara Itali dan Jerman,"
katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan