Rabu, 26 Jun 2013
Johor DT belum ada bayangan
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan TAUFIK SALIMIN
sukan@kosmo.com.my
FANDI (tengah) berkata sesuatu kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan skuad Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.
PENGENDALI Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad mengakui, beliau sedikit tertekan apabila tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak tidak dapat beraksi pada final Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
“Tekanan itu sudah pasti kita dapat rasainya, namun saya harap para pemain lain seperti Andrea Francisco, Safiq Rahim, Nurul Azwan Roya akan kembali menyengat.
“Jika tidak, memang masalah,” kata Fandi ketika ditemui selepas sesi latihan Johor DT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru semalam.
Bagaimanapun, ujar beliau, skuad Harimau Selatan tidak mahu cepat mengalah tanpa kelibat Aidil, sebaliknya akan berusaha bagi memastikan Piala FA menjadi milik mereka.
“Saya yakin walaupun ada sedikit tempang, kita akan teruskan perjuangan dan ditambah dengan sokongan para penyokong, kita mampu melakukannya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau sudah memiliki kesebelasan utama, Fandi menjawab: “Setakat ini kita tiada sebarang bayangan lagi kerana semasa latihan hari ini (semalam) kita nampak empat hingga lima pemain seperti Andrea, Nurul Azwan dan Safiq tidak berada di padang, cuma lapan pemain yang turun berlatih, mungkin esok (hari ini) kita akan dapat bayangan.”
Dalam keghairahan memburu kejayaan, Fandi berkata, beliau sama sekali tidak memandang rendah kemampuan The Red Warriors.
“Kita boleh dikatakan sebagai pasukan underdog, namun apa yang boleh saya cakap, kita akan berjuang habis-habisan,” katanya.
Dalam pada itu, Fandi kurang berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Felda United pada aksi Liga Super di Larkin malam kelmarin.
“Mereka (para pemain ) tidak ada keinginan dan semangat untuk menang dan saya sangat kecewa dengan keputusan tersebut.
“Mungkin ia bukan hari kita, kita sudah mencuba dan itu yang termampu dilakukan para pemain saya.
“Saya lihat, mungkin ada juga pemain yang takut mendapat kad kuning, jadi mereka nampak berhati-hati,” katanya.
Pada pertemuan itu, skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Muhd. Haidin Azman.
Bagaimanapun, hajat Johor DT meraih tiga mata berharga berkecai apabila pemain gantian Felda United, Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan