KOTA BHARU - Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) meluahkan rasa kecewa berhubung kekecohan yang berlaku ketika proses penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.
Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, insiden tersebut
sepatutnya tidak berlaku memandangkan Kelantan hampir setiap tahun
beraksi di pentas akhir sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, insiden berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej
penyokong, namun pada masa sama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)
turut menerima tempias tersebut.
Menurutnya, KAFA sepatutnya mengambil iktibar dari insiden yang
berlaku sebelum ini bagi mengelak kejadian sama berulang kembali.
"Pada pendapat saya insiden ini dapat dielakkan jika KAFA mengumumkan
jumlah tiket perlawanan akhir yang akan dijual di Kota Bharu.
"Melalui cara ini, para penyokong yang hadir untuk membeli tiket
dapat mengetahui jumlah tersebut, sekali gus mengelak timbulnya
persoalan berhubung penjualan tiket berkenaan," katanya ketika dihubungi
di sini semalam.
Suasana kaunter tiket di Stadium Sultan Muhammad IV, kecoh selepas
penyokong Kelantan berang apabila mengetahui tiket perlawanan akhir
tersebut habis dijual dalam tempoh lima minit.
Keadaan tersebut menyebabkan penyokong yang beratur seawal pukul 6.30
pagi untuk mendapatkan tiket tersebut hampa dan menimbulkan rasa kurang
senang mereka.
Keadaan bertambah tegang, apabila pihak perbadanan stadium
mengumumkan semua tiket perlawanan akhir Piala FA sudah habis terjual
kira-kira pukul 10.30 pagi.
Penyokong Kelantan bertambah berang, apabila tiket tersebut dijual
secara terbuka oleh ulat tiket dengan harga lebih mahal sehingga RM80
sekeping.
Dalam pada itu, Mahizi mencadangkan supaya KAFA menjual semua tiket di kaunter bagi mengelak kejadian sama terus berulang.
Beliau percaya jika tindakan tersebut diambil, masalah ini mampu
diatasi sekali gus memulihkan semula kepercayaan penyokong kepada KAFA.
"Inilah masa terbaik KAFA untuk membalas sokongan yang diberikan oleh
penyokong sebelum ini dengan memberikan kemudahan kepada mereka untuk
mendapatkan tiket," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan