|
MENJADI aktor pujaan dunia, lelaki berumur 49 tahun itu sarat dengan
kemasyhuran dan kemewahan. Dia juga dihempap dengan banyak kontroversi,
adakalanya menyedihkan, ada masanya mengejutkan.
Namun, pada kaca mata umum, dia terpamer gagah, bahagia dan
membahagiakan. Di Hollywood dan di serata dunia, dia masih lelaki
fenomena, dia ialah Brad Pitt!
Di sisinya setia terlukis satu wajah. Wanita yang pernah bergelar
antara yang tercantik di dunia, Angelina Jolie secara rasmi telah
dinobatkan sebagai bakal isterinya.
Di kiri dan kanan mereka, tergenggam erat tangan-tangan kecil yang
hanya mengenal kasih sayang. Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox dan
Vivienne mungkin antara kanak-kanak paling bertuah kerana beribubapakan
Brad dan Angelina.
Kisah pelakon kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) dengan nama
William Bradley Pitt atau lebih dikenali sebagai Brad Pitt itu tidak
pernah menjemukan.
Lapan tahun bersama Angelina, mereka bangkit bersama dan jarang
sekali dilaporkan lumpuh. Barangkali tahun tahun ini paling genting buat
Brad.
Pada saat-saat dia terbuka hati untuk menikahi ibu kepada zuriatnya itu, Angelina membuat keputusan besar.
Dia membuang kedua-dua payudaranya. Aktres berumur 37 tahun itu
mendapati risiko dia mendapat kanser payudara adalah sebanyak 87
peratus. Angelina juga berisiko menghidap kanser rahim sebanyak 50
peratus.
"Keputusan Angelina membuang payudara itu pernah diambil oleh wanita-wanita lain yang berdepan situasi yang sama.
"Mereka benar-benar wirawati. Saya cuma mahukan dia hidup lebih lama
dan sihat bersama saya dan anak-anak," ungkap Brad dalam satu temu bual.
Selepas pulih daripada rawatan, Brad ada memberi signal kepada media
bahawa rancangan perkahwinannya dengan Angelina bakal menjadi kenyataan.
"Rasanya, kami ada banyak perkara lain yang harus dibincangkan," ujar
Brad yang memberi gambaran tentang rawatan lanjut yang harus dijalani
oleh Angelina.
Kembali fokus kepada topik perkahwinannya yang ditunggu-tunggu selama
ini, Brad menambah: "Saya tidak boleh membuat pengumuman, ia masih
menjadi rahsia. Tapi, kami masih bersama ke arah itu dan saya sudah pun
bersedia."
Keterbukaan Brad tentang kisah kelam, keperibadian, hubungan dan
perkahwinan juga terungkai dalam satu artikel yang tersiar dalam sebuah
majalah antarabangsa Esquire.
Akui Brad, sepanjang perkahwinannya dengan aktres Jennifer Aniston
dari tahun 2000 hingga 2005 merupakan tempoh terburuk dalam hidupnya.
"Saya pernah bergantung kepada dadah dalam jangka waktu yang cukup
lama. Saya hanyut namun, akhirnya saya menganggap bahawa apa yang saya
lakukan sebenarnya hanya membuang semua peluang yang datang kepada saya.
"Itu merupakan kisah yang berdekad-dekad dahulu," katanya sebelum
menambah bahawa hubungannya dengan Angelina serta enam orang anaknya
membuahkan ketenangan yang selama ini dicari-carinya.
"Saya selalu berfikir, jika mahu berkeluarga, saya mahukan sebuah
keluarga yang besar. Saya mahu rumah kami hingar-bingar dengan jeritan
anak-anak.
"Saya seronok begitu dan bosan bila mereka tiada di rumah. Mungkin
ada baiknya sesekali saya ke hotel untuk membaca surat khabar tapi
keesokan harinya saya sudah rindukan mereka," ujar Brad yang turut
mengakui perkahwinan bersama Aniston bintang sitkom Friends dahulu
sering dikaburi sesuatu yang tidak pasti.
Hero perang dunia
Seperti yang pernah dikongsikan selama ini, sifat kebapaan Brad juga
semakin menawan. Jarang keluar negara tanpa ditemani keluarga, Brad,
baru-baru ini membawa seorang anak angkat lelakinya, Pax yang berusia
sembilan tahun ke Seoul, Korea Selatan untuk menghadiri tayangan perdana
filem terbaharunya, World War Z di sana.
Brad, Jolie, Pax dan Maddox juga dilihat muncul pada acara karpet
merah tayangan perdana World War Z di London, England pada awal Jun
lalu.
Apabila ditanya soal itu, Brad beranggapan itulah masa terbaik
untuknya menjadikan sesi promosi filem yang juga terbitannya sebagai
satu agenda kekeluargaan.
"Adakah kalian tidak pernah menyertai trip bersama-sama keluarga
semasa kanak-kanak? Untuk pengetahuan semua, kami juga mahu mencipta
sebuah memori yang berharga untuk dikenang.
"Sebagai bapa, ia cukup mengembirakan," kata Brad ketika disoal wartawan dalam satu tayangan World War Z di New York, AS.
Bercakap tentang filem yang dianggarkan menelan bajet lebih RM600
juta itu, aktor Mr. & Mrs. Smith itu mengaku sebelum ini dia
langsung tidak pernah tahu tentang zombi.
"Semua ini bermula kerana saya ingin membintangi sebuah filem yang
akan dapat disaksikan oleh anak lelaki saya sebelum mereka berumur 18
tahun, seperti yang mereka inginkan dan mereka menyukai zombi," ungkap
Brad ketika berucap dalam tayangan World War Z di AS baru-baru ini.
Filem World War Z yang diangkat daripada kisah novel karya Max Brooks
itu turut dimeriahkan dengan lakonan Mireille Enos, Eric West, Matthew
Fox dan David Morse.
"Watak Gerry hanya insan biasa yang cuba melakukan sesuatu yang luar biasa tanpa dikurniakan sebarang kuasa luar biasa.
"Dia tidak boleh terbang, dia tidak boleh membelasah orang-orang
jahat. Dia hanya boleh bergantung pada akal, naluri dan pengalamannya
untuk menyelesaikan masalah.
"Saya boleh menjanjikan filem itu sebagai yang paling menyeronokkan
yang anda akan tonton di pawagam," kata Brad selaku penerbit dan aktor
utama World War Z.
"Saya menganggap penonton akan menyukai filem itu sebagaimana
anak-anak saya menyukainya," tambahnya. Brad turut beranggapan filem
yang mengambil masa selama tujuh tahun untuk dihasilkan itu merupakan
projek paling menggerunkan yang pernah diharunginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan