Selasa, 25 Jun 2013

Kelantan dapat tonik berharga

Oleh YATIMIN ABDULLAH


ZAMRI (kanan) dicabar pemain pertahanan Pahang, Mohd. Saiful Nizam pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


KELANTAN mendapat tonik berharga menjelang aksi final Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) Sabtu ini apabila menumpaskan Pahang 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong setia, Kelantan bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat seawal minit pertama, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Keghairahan tuan rumah untuk mendapatkan jaringan hampir membuahkan hasil menerusi Mohd. Faiz Subri, namun rembatannya pada minit ke-11 melewati palang gol pelawat.
Pahang turut mempunyai peluang terbaik menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma Azidan Saharudin pada minit ke-19, namun diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Ketiadaan penggempur berbisa, Azzamuddin Akil menyaksikan jentera serangan Pahang gagal berfungsi baik, sekali gus menyukarkan mereka untuk membelah benteng Kelantan yang diterajui Obinna Nwaneri.

Pada minit ke-28, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi mempersia-siakan peluang terbuka selepas rembatannya berjaya ditanduk keluar oleh Mohd. Saiful Nizam Miswan biarpun pengaja gol Pahang, Khairul Azhar sudah pun tertewas ketika itu.

Ketumpulan jentera serangan terus menghantui Kelantan apabila rembatan Mohd. Norfarhan Mohammad pada minit ke-36 berjaya diselamatkan oleh Khairul Azhar.

Selang dua minit kemudian, Kelantan memperoleh peluang keemasan untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun Nwaneri gagal menyempurnakan tugas tersebut.

Badhri menamatkan penantian penyokong Kelantan apabila meledak jaringan pertama tuan rumah menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kedua oleh Muhammad Zamri Ramli.

Kelantan terus bernafsu untuk memburu jaringan apabila membuat dua pertukaran dengan memasukkan peledak berbisanya, Dickson Nwakaeme serta perancang tengah, Zairol Annuar Zailani bagi menggantikan Faiz dan Zamri pada minit ke-64.

Kemasukan kedua-dua tonggak tersebut menyaksikan Kelantan terus menekan benteng pertahanan pelawat yang dikemudi oleh pemain berpengalaman, Jalaluddin Jaafar.

Pada minit ke-75, Nwakeme melepaskan peluang terbaik Kelantan untuk menjarakkan kedudukan apabila rembatannya gagal menemui sasaran.

Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak berjaya memintas Pahang dengan kelebihan satu mata apabila mengumpul 30 mata.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan