KOTA BHARU - Pemain sayap Kelantan, Mohd. Faiz
Subri mengakui pasukannya kini berada pada landasan tepat untuk berada
dalam kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
Mohd. Faiz berkata, kemenangan 4-0 ke atas Terengganu dalam aksi Liga
Super di Kuala Terengganu, Jumaat lalu menghidupkan semula peluang
Kelantan dengan baki tiga perlawanan sebelum saingan liga ditamatkan
musim ini.
Menurut Mohd. Faiz, pertemuan dengan Pahang di Stadium Sultan
Muhammad IV Selasa ini mahu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengutip
mata penuh.
"Jumlah pungutan mata kita dengan pasukan Pahang tidak banyak beza.
Kemenangan ke atas Pahang pada perlawanan ini membuka peluang kita untuk
memintas mereka.
"Begitupun Pahang bukanlah pasukan mudah untuk ditundukkan. Mereka
pasti akan bangkit selepas tumpas mengejut pada perlawanan tempoh hari,"
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambah Mohd. Faiz, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk
memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu, seterusnya menghadiahkan
tiga mata buat Kelantan.
Kelantan yang berada di kedudukan keenam dalam carta liga berpeluang memintas Pahang jika menang pada perlawanan tersebut.
Kedua-dua pasukan ini hanya dibezakan dengan dua mata selepas Kelantan mengumpul 27 mata dan Pahang 29 mata.
Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu
mengakui, jaringan yang dilakukan pada pertemuan dengan Terengganu
tempoh hari menguatkan lagi azamnya untuk meledakkan lebih banyak gol
pada perlawanan berikutnya.
"Sebagai pemain bola sepak, jaringan gol amat penting dan ia
merupakan satu lonjakan semangat untuk terus memberikan aksi terbaik
dalam perlawanan selepas ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan