Kim Swee puji semangat Wan Zack
Kim Swee menegaskan, mentaliti pemain berusia 22 tahun itu wajar
menjadi ikutan generasi pemain muda dalam usaha melebarkan nama negara
di persada antarabangsa.
Pengendali kelahiran Melaka itu turut mendedahkan, skuad negara bakal
memiliki potensi besar sekiranya lebih ramai pemain muda memiliki
mentaliti dan semangat seperti Wan Zack.
Kim Swee berkata, keberanian Wan Zack boleh menjadi pencetus kepada
pemain-pemain muda negara dalam usaha mengembangkan kebolehan mereka di
serata dunia.
“Satu langkah sangat bijak dan saya percaya, dia kini sudah cukup matang untuk memikirkan mana yang baik demi masa depannya.
“Biarpun melalui kesukaran di Jepun, ia tidak sesekali mematahkan semangat Wan Zack dan sikap ini harus dicontohi.
“Wan Zack tidak cepat terpengaruh dengan mana-mana tawaran dan saya
percaya, dia akan menjadi model terbaik untuk generasi pemain muda akan
datang.
“Sudah tiba masanya pemain-pemain kita merantau ke luar negara untuk mencari ilmu dan pengalaman demi manfaat skuad negara.
“Apa yang pasti, Wan Zack akan memberikan kami satu dimensi baharu
dengan berkongsi ilmu serta pengalaman sebaik kembali bersama dengan
skuad negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Slovakia semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Kim Swee memberikan amaran bahawa
beliau tidak akan sesekali mengetengahkan bakat-bakat pemain muda
sekiranya Wan Zack mengambil keputusan untuk beraksi di Liga M pada
musim depan.
Ini kerana Kim Swee menggangap ia merupakan peluang terbaik buat Wan
Zack untuk mencipta nama dan mengembangkan bakatnya di pentas
antarabangsa.
Selain itu, beliau mengakui tidak sanggup menyaksikan insiden ‘kedua’
selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjadi harapan Kim
Swee bertindak meninggalkan S.C Beira-Mar dengan memilih Selangor PKNS
biarpun masih memiliki baki kontrak tiga tahun dengan kelab Portugal
itu.
Dalam perkembangan lain, Kim Swee turut mengulas kebarangkalian Wan Zack akan kekal lebih lama dengan kelab Jepun tersebut.
Sebelum ini, kebanyakan pemain-pemain negara ‘disindir’ selepas beraksi di luar negara.
Ini kerana ada sesetengah pemain yang berjaya tamat kontrak masih
tidak ditawarkan sebarang perjanjian lanjutan manakala bagi pemain yang
tidak berjaya bertahan lama berdasarkan perjanjian asalnya, memberikan
alasan gagal menyesuaikan diri dengan cuaca, pemakanan dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan