SEOUL - Korea Selatan dan Iran akan berentap dalam perlawanan
Kelayakan Piala Dunia zon Asia paling hangat hari ini, selepas kedua-dua
pasukan berperang mulut sehinggakan seorang pemain berkata, mereka akan
membuatkan ketua pasukan Iran 'menangis air mata darah'.
Perang mulut antara kedua-dua pasukan meningkatkan lagi kehangatan
pertembungan di Seoul, di mana Korea Selatan hanya memerlukan satu mata
manakala Iran perlukan kemenangan untuk mengesahkan kelayakan automatik
ke Piala Dunia 2014.
Komen bos Korea Selatan, Choi Kang-Hee yang menjanjikan 'kesukaran'
buat Iran mencetuskan tindak balas daripada jurulatih Carlos Queiroz dan
ketua pasukan, Javad Nekounam.
"Saya akan membuatkan dia (Nekounam) menangis air mata darah.
"Nekounam sememangnya dikenali kerana banyak cakap. "Saya akan
memberikan reaksi di atas padang dan bukannya hanya bercakap. Kami akan
mengalahkan Iran dengan tiga atau empat gol," kata pemain yang beraksi
di liga Jerman, Son Heung-Min.
Perbalahan kedua-dua pasukan tercetus ekoran daripada rungutan Korea
Selatan mengenai layanan kurang baik ketika pasukan itu bertandang ke
Tehran pada Oktober lalu.
Pemain Korea Selatan berdepan masalah visa dan padang latihan yang
teruk ketika berada di negara tersebut. Perlawanan di Tehran berakhir
dengan Korea Selatan kalah 1-0.
Choi berkata, layanan buruk di Tehran kekal dalam ingatan pemainnya dan kini mereka mahu membalas layanan tersebut kepada Iran.
Ulasan tersebut dikritik oleh Nekounam dan Queiroz, yang menyifatkan ia sebagai memalukan.
Namun jurulatih Korea Selatan itu meramalkan bahawa Queiroz hanya
akan menyaksikan siaran langsung perlawanan Piala Dunia di Brazil tahun
depan di kediamannya di Portugal.
Stadium Piala Dunia di Seoul dijangka dipenuhi penonton untuk
menyaksikan pertembungan hari ini ketika Korea Selatan memburu kelayakan
kelapan berturut-turut ke Piala Dunia dan yang kesembilan
keseluruhannya.
Iran pernah layak tiga kali ke Piala Dunia.
Menjelang perlawanan terakhir hari ini, Korea Selatan menerajui Kumpulan A dengan 14 mata, Iran 13 mata dan Uzbekistan 11 mata.
Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke pusingan akhir tahun depan
manakala pasukan tangga ketiga akan mengharungi perlawanan playoff. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan