LONDON - Laurent Koscielny menolak tawaran
daripada dua kelab gergasi bola sepak dunia, Bayern Munich dan Barcelona
untuk terus kekal di Arsenal.
Ejen Koscielny, Stephane Courbois, mengesahkan pertahanan
antarabangsa Perancis itu menjadi sasaran banyak kelab terkemuka Eropah.
Diletakkan nilai 15 juta pound (RM84 juta), Koscielny, 27, memberitahu bos Gunners, Arsene Wenger, bahawa dia cukup gembira di Emirates dan tidak berhasrat untuk berhijrah.
Dibeli oleh Wenger dengan harga 8.5 juta pound (RM42 juta) dari kelab
Perancis, Lorient tiga tahun lalu, Koscielny beraksi cukup cemerlang
pada separuh musim kedua untuk membantu Arsenal meraih tempat keempat
Liga Perdana Inggeris.
Keputusannya untuk kekal pasti memberikan kelegaan kepada para
penyokong yang telah kehilangan beberapa pemain utama seperti Cesc
Fabregas dan Robin van Persie.
Dalam pada masa sama, Wenger dikhabarkan sedia menjual Thomas
Vermaelen jika mendapat tawaran bersesuaian namun sama sekali tidak akan
melepaskan Koscielny, yang telah membentuk gandingan mantap bersama Per
Mertesacker.
Wenger yang mendapat bajet 70 juta pound (RM346.4 juta) dijangka
memulakan pembelian pertama dengan cuba mendapatkan penyerang Real
Madrid, Gonzalo Higuain dengan harga 20 juta pound (RM99 juta).
Namun, Real hanya bersedia menjual penyerang antarabangsa Argentina
itu dengan harga sekitar 25. 5 juta (RM126.2 juta) pound dan kemungkinan
kedua-dua kelab bersetuju pada harga 22 juta pound (RM109 juta).
Walaupun begitu, usaha pembelian itu belum menjadi kenyataan kerana
Real masih belum mempunyai pengganti kepada Jose Mourinho dengan bos
Paris Saint-Germain, menjadi calon terbaik mengisi kekosongan di
Bernaebeu.
Jika Higuain berhijrah ke Arsenal, dia akan menjadi pemain paling
mahal pernah dibeli oleh Arsenal, mengetepikan rekod 15 juta pound
(RM74.2 juta) yang dipegang oleh Andrey Arshavin yang tiba dari Zenit
St. Petersburg pada 2009.
Selain itu, Wenger juga difahamkan semakin hampir mendapatkan Asier
Illarramendi, pemain tonggak skuad Bawah 21 tahun Sepanyol dengan harga
10 juta pound (RM49.4 juta).
Pemain tengah itu beraksi cemerlang bersama Real Sociedad sehingga
membantu kelab itu layak ke saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama. -
AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan