KUALA LUMPUR - Turun tanpa kelibat awang import,
Francis Forkey Doe, Selangor dijangka berdepan laluan berduri untuk cuba
mencari tiga mata ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan
ketumpulan jentera serangan pasti menjadi kebimbangan pengendalinya,
Irfan Bakti.
Apa tidaknya, lapan daripada 22 jaringan yang terhasil daripada
penyerang kebangsaan Liberia ini dalam saingan Liga Super sudah cukup
untuk menggambarkan Selangor pasti akan terasa ketiadaan Forkey Doe yang
digantung satu perlawanan.
Situasi itu bagaimanapun masih tidak mencemaskan Irfan yang tetap
yakin kemampuan para pemain terutamanya enam tonggak Harimau Malaya di
samping bersedia memberikan ruang kepada Afiq Azmi berada dalam
kesebelasan utama.
"Memang sudah sah Forkey Doe tidak boleh bermain pada perlawanan esok
(hari ini) dan situasi ini sedikit menyukarkan kami tetapi dalam masa
sama saya berasa gembira kerana tiada mana-mana pemain kebangsaan
mengalami kecederaan.
"Ketiadaan Forkey Doe membuatkan saya terpaksa memilih pemain lain
untuk diturunkan dan Afiq Azmi mungkin menjadi pilihan saya berbanding
Ramzul (Zahini)," katanya ketika dihubungi, semalam.
Ditanya mengenai kelebihan bekas penyerang Kuala Lumpur dan Kelantan
berkenaan, Irfan menjelaskan Afiq sebenarnya mempunyai potensi yang
boleh diserlahkan jika kelebihan fizikalnya dijadikan sandaran.
"Afiq merupakan seorang pemain yang ada ketinggian sesuai sebagai
penyerang malahan saya nampak dia ada kelebihan tersendiri sebagai
penyerang.
"Bukan Ramzul tidak bagus namun dalam masa kini Afiq nampak cukup
bersedia untuk diturunkan dan saya yakin dia boleh menggalas kekosongan
yang ditinggalkan oleh Forkey Doe," katanya.
Sedar peluang untuk mencabar kejuaraan suram, Irfan mensasarkan tiga teratas sebagai impian paling realistik.
"Jika kami mahu berada antara tiga pasukan terbaik, kemenangan ke
atas ATM adalah wajib supaya kami boleh menyamai kedudukan mata (33
mata) yang sama dengan mereka.," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan