Ahad, 23 Jun 2013

Mexico menang, tapi tiada makna


BELO HORIZONTE, Brazil - Bintang penyerang Manchester United, Javier Hernandez menjaringkan dua gol tetapi terlepas sepakan penalti lewat minit ketika membantu Mexico menumpaskan Jepun 2-1 dalam saingan Piala Konfederasi di sini, semalam.

Kekalahan tersebut meninggalkan juara Asia menutup kempen di Brazil tanpa sebarang kemenangan dan mata. 

Hernandez, sebaliknya menjaringkan gol ketiganya pada Piala Konfederasi untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Mexico.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberi makna kerana Brazil dan Itali sudahpun mengesahkan tiket separuh akhir daripada Kumpulan A. 

Hernandez, yang sebelum ini menjaringkan gol tunggal Mexico ketika tewas 1-2 kepada Itali, membuka jaringan Mexico pada minit ke-54. 

Dia melakukan larian yang sempurna untuk menyambut hantaran silang Andres Guardado sebelum menanduk bola melepasi jangkauan penjaga gol Jepun, Eiji Kawashima.

Hanya 12 minit kemudian, bintang United itu melebarkan kedudukan 2-0. 

Kali ini, Giovani Dos Santos mengambil sepakan sudut yang kemudian ditendang oleh Hiram Mier kepada Hernandez, yang menanduk bola dari jarak dekat. 

Biarpun ketinggalan dua gol, Jepun belum berputus asa. Yasuyuki Konno hampir merapatkan kedudukan tetapi rembatan cantiknya ditepis oleh penjaga gol lawan, Guillermo Ochoa.

Jepun, yang sudah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan empat minit sebelum tamat permainan menerusi penyerang Stuttgart, Shinji Okazaki yang mudah menolak bola ke gawang. 

Hernandez berpeluang melebarkan kedudukan 3-1 pada masa kecederaan tetapi dia dijatuhkan dalam kotak penalti. 

Kawashima bagaimanapun beraksi baik apabila menepis sepakan penalti yang diambil penyerang United itu, Hernandez melakukan percubaan kedua menerusi bola yang melantun tetapi tendangannya kali ini melepasi palang gol. 

Kemenangan ini memboleh Mexico, yang sebelum ini kalah 0-2 kepada tuan rumah, Brazil sekadar menghuni tangga ketiga. 

Jepun pula menamatkan kempen dengan tiga kekalahan selepas tunduk 0-3 kepada Brazil dan 3-4 kepada Itali. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan