Khamis, 20 Jun 2013

Mourinho tidak sabar



MOURINHO (kanan) kembali membimbing Chelsea selepas meninggalkan Stamford Bridge pada 2007.



LONDON - Jose Mourinho memberi reaksi yang beremosi selepas Chelsea dijadualkan bertemu Hull City di Stamford Bridge pada aksi pembukaan Liga Perdana England musim depan.

Perlawanan pada 17 Ogos itu adalah yang pertama buat pengendali yang dikenali sebagai The Special One itu dalam saingan liga sejak seri tanpa jaringan dengan Blackburn pada September 2007.

Mourinho tidak sabar untuk berdepan skuad kendalian Steve Bruce itu selepas jadual perlawanan musim depan diumumkan kelmarin.

"Ia akan menjadi satu permulaan yang penuh emosi kepada kedua-dua pasukan tetapi ia juga satu pertembungan yang sukar.

"Memulakan saingan musim ini di tempat sendiri adalah satu cara yang bagus buat penyokong-penyokong kami. Mereka boleh menunjukkan bahawa mereka sudah bersedia berada di belakang kami sehingga hujung musim.

"Pada masa yang sama, ia juga satu peluang bagi pemain untuk membuktikan bahawa mereka dalam keadaan bermotivasi tinggi dan komited.

"Saya sangat gembira untuk memulakan kempen liga di Stamford Bridge, tetapi saya tahu Hull akan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam diri mereka," kata Mourinho.

Mourinho yang akan berdepan Manchester United pada aksi kedua liga di Old Trafford, memenangi kesemua empat perlawanan pembuka musim pada tahun pertamanya di England.

Sementara itu, kali terakhir Hull beraksi dalam saingan Liga Perdana England juga adalah menentang skuad The Blues di Stamford Bridge sebelum Didier Drogba menjaringkan kedua-dua gol ketika menang 2-1 pada Ogos 2009. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan