FORTALEZA, Brazil - Penyerang Brazil, Neymar menampilkan satu
persembahan yang memukau ketika membantu skuad Samba menewaskan Mexico
2-0 pada aksi kedua Kumpulan A kempen Piala Konfederasi 2013 awal pagi
semalam.
Pada aksi di Stadium Castelao itu, Neymar meletakkan Brazil di depan
seawal minit kesembilan menerusi satu rembatan voli kaki kirinya.
Pemain baharu Barcelona itu turut memainkan peranan penting untuk
membantu Brazil merekodkan kemenangan kedua pada kejohanan ini.
Neymar berjaya melepasi dua pemain pertahanan Mexico sebelum
melorongkan bola kepada pemain gantian, Jo yang mudah menolak bola
tersebut ke gawang lawan.
"Saya gembira kerana dapat bermain dengan baik (ketika menentang Mexico).
"Namun, perkara paling penting bagi saya adalah kami bermain sebagai
sebuah pasukan dan mempamerkan satu persembahan yang menarik.
"Kami semakin meningkat dalam setiap perlawanan. Kemenangan ini akan
memberikan kami lebih banyak keyakinan buat kami sebelum menghadapi
perlawanan seterusnya (menentang Itali)," kata Neymar.
Kekalahan itu turut menyaksikan Mexico yang berjaya menewaskan Brazil
dua kali sepanjang tiga perlawanan sebelum ini, tersingkir awal
daripada Piala Konfederasi tahun ini.
Antara kejayaan bermakna Mexico ke atas Brazil adalah ketika
menewaskan skuad Samba yang diketuai Neymar dan Oscar pada final Sukan
Olimpik 2012 di London.
"Saya tahu, beberapa pemain masih belum dapat melupakan kekalahan kepada Mexico pada aksi final Sukan Olimpik 2012.
"Namun, apa yang paling penting, kami berjaya merakamkan kemenangan
ini (awal pagi semalam)," kata jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari. -
AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan