Sabtu, 29 Jun 2013

Nwakaeme akan pastikan Johor DT merana

Oleh KHAIRI MOHAMAD

PRESTASI terumbang ambing juara trebel musim lalu, Kelantan di awal musim dikaitkan dengan kesilapan memilih pemain import apabila Keita Mandjou gagal memberikan impak seperti yang diharapkan sehingga merencatkan perancangan untuk musim 2013.

Bagaimanapun, langkah segera yang diambil pihak pengurusan Kelantan untuk mencari pengganti pemain yang berasal dari Guinea itu merupakan langkah terpuji sehinggalah nama Dickson Nwakaeme dari Nigeria mula meniti di bibir puluhan ribu penyokong The Red Warriors.

Mula menyertai Kelantan April lalu, Nwakaeme terpaksa bergelut dengan kecederaan serta masalah kecergasan biarpun sedikit sebanyak memberi petunjuk positif kepada prestasi Kelantan, namun hakikatnya bintangnya masih belum bebar-benar bersinar.

Jaringannya di Kuala Terengganu ketika Kelantan menewaskan Terengganu pada saingan separuh akhir Piala FA untuk membawa pasukannya sekali lagi beraksi di pentas final menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) adalah detik penting untuk dikenang para peminat The Red Warriors.

Memiliki susuk tubuh yang agak besar, beliau tidak mempunyai larian yang laju namun, kawalan bola, ketenangan dan bijak membaca pergerakan pertahanan lawan antara aset penting Nwakaeme untuk berada dalam kesebelasan utama Kelantan malam ini.

Beliau yang ditemu bual baru-baru ini memberitahu, pentas perlawanan akhir ini bukanlah yang pertama sepanjang kariernya kerana sebelum ini beliau pernah beraksi pada perlawanan sebesar itu ketika menyertai kelab di Finland dan Vietnam.

“Ini bukan aksi final pertama saya, cuma mungkin di sini ia menjadi pengalaman pertama saya. Saya rasa bertuah dan gembira terutama apabila pasukan saya berjaya melangkah ke perlawanan akhir kerana semua pasukan dan pemain sentiasa dahagakan saat sebegini (perlawanan akhir) dan memenangi piala.

“Saya sudah bersedia dan tanpa sebarang keraguan untuk turun beraksi pada perlawanan akhir nanti. Kecederaan yang saya alami tidak begitu serius dan saya fikir saya mampu cergas dan sembuh sebelum perlawanan akhir itu nanti,” katanya.

Tambahnya, dua kemenangan yang dikecapi Kelantan dalam tempoh beberapa hari sebelum perlawanan akhir merupakan bonus untuk membakar semangat beliau dan rakan-rakan dan yakin ini merupakan minggu yang cukup sempurna untuk diakhiri dengan kemenangan ketiga dan merangkul kejuaraan.

Mengulas mengenai Johor DT, Nwakaeme memberitahu, beliau menyedari kekuatan yang dimiliki oleh pasukan kendalian Fandi Ahmad itu terutama apabila mereka dibarisi pemain-pemain berstatus bintang selain rekod pertemuan musim ini yang jelas memihak kepada pasukan yang terkenal dengan jolokan Harimau Selatan itu.

“Johor DT pasukan yang mantap, memiliki pemain yang hebat, mampu bermain dengan cemerlang, kawalan bola yang bagus dan sudah tentu bukan mudah untuk kita mengatasi mereka. 

“Peluang sudah tentu ada, bola sepak bergantung kepada bagaimana kita bekerja, bagaimana kita membuat persediaan dan bagaimana kita melawan. Jika semuanya sempurna, kita mempunyai peluang untuk menang.

“Bola sepak tidak semudah yang dijangka. Pasukan yang bijak menyambar peluang berpotensi muncul juara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan