LIVERPOOL - Penjaga gol Belgium, Simon Mignolet menjadi pemain
keempat yang ditandatangani Liverpool dengan harga 10 juta pound (RM49
juta) semalam.
Mignolet sedia untuk bersaing dengan Pepe Reina bagi menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol No. 1 Kop.
Bekas pemain Sunderland, Mignolet, 24, lulus pemeriksaan perubatan di ibu pejabat Reds dekat Melwood sebelum menurunkan tandatangannya dengan kontrak lima tahun.
Ketibaan penjaga gol itu mencetuskan keraguan tentang masa depan
penjaga gol Sepanyol, Reina, 30, yang menjadi sasaran Barcelona pada
awal musim panas ini.
Mignolet menegaskan dia bersedia untuk mengambil alih tempat penjaga gol veteran, Reina.
Dia berkata: "Ini merupakan cabaran kerana itu yang saya mahukan.
Saya mahu bermain dalam perlawanan besar, saya juga mahu beraksi bersama
kelab besar dan bermain dalam tekanan.
"Saya sangat yakin dan saya tidak sabar untuk mencatat rekod tanpa
bolos buat kali pertama. Saya sering berada dalam pertandingan yang
besar sama ada bersama skuad kebangsaan Belgium dan juga sewaktu di
Sunderland yang mana saya bersaing dengan Craig Gordon serta Keiren
Westwood, yang juga merupakan pemain antarabangsa.
"Sekarang situasi sama berlaku sekali lagi dengan Pepe dan juga Brad Jones," katanya.
Rodgers telah pun menandatangani Kolo Toure, Iago Aspas dan Luis Alberto.
Bos Kop itu berkata: "Saya gembira kami dapat menandatangani
salah seorang penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris. Penyertaan
Simon bersama kelab ini akan memberi peluang kepadanya membuktikan
kemampuan sebenar dan meningkatkan permainannya."
Reina merupakan penjaga gol pilihan utama di Anfield sejak dia
berpindah dari Villarreal dengan harga 6 juta pound (RM29 juta) pada
2005 dan merupakan pemain yang amat popular di Anfield.
Boss Sunderland, Paolo Di Canio berkata: "Simon merupakan pemain yang hebat, dia seorang yang profesional dan pemain yang baik.
"Saya mengucapkan terim kasih kepadanya di atas sumbangannya kepada pasukan sepanjang musim lalu.
"Dia merupakan pemain penting dan pemergiannya diiringi dengan
harapan terbaik untuknya dari warga kelab. Sasaran kami ialah membina
sebuah skuad yang kompetitif dan penjualan tersebut memberi kami peluang
untuk mengukuhkan pasukan." - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan