Selasa, 18 Jun 2013

Radwanska tidak gentar




EASTBOURNE, England - Pemain No. 4 dunia, Agnieszka Radwanska (gambar) semakin yakin untuk meraih gelaran juara pada Kejohanan Tenis Wimbledon, 24 Jun hingga 7 Julai depan.

Radwanska, 24, memperoleh keyakinan itu selepas mara ke final pada musim 2012. 

Pemain kelahiran Poland itu memberikan cabaran yang sengit kepada pemain No. 1 dunia, Serena Williams pada final tahun lalu.
"Bercakap mengenai perlawanan akhir itu, tekanan sangat tinggi dan bagi saya, ia adalah hari terbesar dalam karier saya.

"Situasinya sangat berbeza berbanding final lain yang pernah saya lalui. Saya tidak kisah sama ada menang atau kalah kerana berada di pentas final kejohanan Grand Slam adalah satu pengalaman yang menakjubkan dalam hidup saya terutama bermain di gelanggang rumput," kata Radwanska menjelang kejohanan Grand Slam di Kelab Seluruh England itu.

Radwanska mengakui, dia akan berhati-hati untuk menghadapi kejohanan tahun ini selepas mengalami sakit tekak akibat jangkitan pada final tahun lalu.
"Saya sangat gementar dan sehari sebelum perlawanan, semuanya berada dalam keadaan tertekan. Sudah tentu terlalu banyak tenaga diperlukan. 

"Bagaimanapun, kali ini saya tahu apa yang perlu difikir dan dilakukan apabila berada dalam gelanggang. Saya lebih tenang. 

"Namun, ia tidak menghalang saya untuk berada dalam keadaan sedikit tertekan kerana bukan mudah mempertahankan status sebagai pemain yang mara ke final," kata Radwanska.

Beraksi buat pertama kalinya di gelanggang rumput pada usia 16 tahun, Radwanska berjaya meraih gelaran juara remaja Wimbledon pada 2005 dan sejak itu, gelanggang rumput menjadi kegemarannya. 

"Saya sangat teruja bermain di gelanggang Kelab Seluruh England dan sebagai persediaan, saya melakukan latihan kecergasan serta lain-lain untuk menghadapi kejohanan Grand Slam ini," katanya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan