Sabtu, 29 Jun 2013

Ratusan penyokong Johor DT tersadai



SEBAHAGIAN penyokong tegar Johor DT hampa apabila pihak penganjur gagal menyediakan bas untuk membawa mereka ke Bukit jalil semalam.


LEBIH 200 penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) yang berkobar-kobar untuk menonton final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi hampa apabila bas yang dijanjikan untuk membawa mereka ke sana tidak kelihatan.

Kosmo! difahamkan, orang tengah yang menguruskan perkara tersebut juga dianiayai hingga memaksanya memulangkan semula duit yang sudah dibayar sebanyak RM110 setiap seorang.

Meskipun situasi itu mencetuskan kemarahan, tiada sebarang insiden ganas antara penyokong dan orang tengah yang menguruskan segala kemudahan untuk membawa mereka ke Bukit Jalil.

Orang tengah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiq berkata, susulan daripada kejadian itu, dia telah bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Larkin.

Ujarnya, sepatutnya kesemua penyokong dijadualkan menaiki tiga buah bas untuk ke Bukit Jalil.
Namun, entah mana silapnya, bas-bas berkenaan tidak muncul mengikut jadual.

"Saya memohon maaf kepada semua kerana saya sendiri pun kena tipu dengan pihak pengurusan bas tersebut," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.
Seorang penyokong, Muhd. Rasul Abd Razak, 28, dari pasir Gudang berkata, dia dengan penuh semangat menunggu bas sejak pukul 6 pagi semalam.

"Saya berulang kali menghubungi orang tengah itu untuk bertanya mengenai bas yang membawa mereka sudah sampai atau belum.

"Selepas lebih kurang dua jam menunggu, bas tidak sampai dan sejak itu kami rasa teraniaya dan diperdaya," katanya.

Seorang lagi mangsa, Norhaslinda Mohd Roslan, 27, berkata dia terkilan kerana tidak dapat menyertai rombongan ke Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangannya.

"Selama ini, kalau di Larkin saya sentiasa datang dan menyokong, jadi untuk kali ini saya terkilan, tetapi akan cuba pergi menggunakan kenderaan sendiri serta dapatkan tiket di sana," katanya yang turut lega selepas wang deposit dipulangkan segera dan boleh digunakan untuk perbelanjaan ke Bukit Jalil.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan