LONDON - Wayne Rooney dikhabarkan telah membuat keputusan untuk terus kekal bersama Manchester United pada musim depan.
Penyerang England itu akan berjumpa David Moyes untuk memberitahu bahawa dia mahu terus berada di Old Trafford.
Rooney dan pengurus baharu United, Moyes dijadual pulang daripada
bercuti minggu ini dan kedua-duanya akan terus berjumpa bagi menentukan
masa depan penyerang sensasi itu bersama The Red Devils.
Antara alasan Rooney ialah dia percaya ketiadaan Alex Ferguson yang telah bersara akan memberinya satu peluang baharu.
Rooney telah menghabiskan masa selama sembilan tahun bersama kelab
juara Liga Perdana England itu dan dia sebelum ini telah menyuarakan
hasratnya untuk berpindah kepada Ferguson pada hujung musim lepas.
Dia dikatakan kecewa setelah kerap kali beraksi di posisi berbeza dan
bukan sebagai penyerang tunggal United berikutan kehadiran Robin van
Persie di kelab berkenaan.
Moyes pula akan berdepan ujian paling besar dalam eranya di United
sama ada mahu menerima Rooney semula atau bersetuju dengan pendapat
Ferguson supaya menjualnya bagi mendapat keuntungan.
Pemain berusia 28 tahun itu masih memiliki baki dua tahun dalam kontraknya di Old Trafford.
Moyes yang akan memulakan tugasnya secara rasmi hari ini telah
memberitahu bahawa masa depan Rooney adalah keutamaannya buat masa ini.
Chelsea dan Arsenal juga sudah bersedia menyambar Rooney seandainya
Moyes tidak lagi memerlukan khidmat penyerang England tersebut. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan