JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad kendaliannya
mampu menamatkan saingan di tempat kedua pada kempen Liga Super musim
ini.
Irfan menyuarakan keyakinan itu selepas Selangor menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.
Pada perlawanan itu, pemain tengah, K. Gurusamy muncul wira apabila
meledak gol kemenangan menerusi satu sepakan percuma pada masa
kecederaan.
Irfan yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok
tiga teratas liga menegaskan, perjuangan Selangor masih belum berakhir
dan mendesak anak-anak buahnya supaya berkerja keras bagi menghadapi
tiga baki perlawanan liga musim ini.
“Bagi saya, keputusan malam ini (kelmarin) adil dan ia telah membuka
ruang kepada kami untuk memburu kelompok ketiga dan kedua Liga Super.
“Mental pemain saya malam ini (kelmarin) tidak seperti yang
diharapkan, tetapi saya telah memberitahu mereka supaya mencipta
sekurang-kurangnya tiga kemenangan dan satu seri dalam baki tiga
perlawanan musim ini.
“Prestasi kami tidak begitu menarik. Pemain kami terlalu ghairah untuk memburu gol kemenangan (selepas menyaksikan penyerang import ATM, Marlon Alex James dibuang padang pada minit ke-34).
“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan Selangor,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.
Selangor kini kekal di tangga keempat liga selepas berkongsi 33
mata dengan ATM (ketiga) tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Pengendali kelahiran Perak itu turut menarik nafas lega apabila
menyaksikan penyerang import, Francis Forkey Doe selesai menjalani
penggantungan satu perlawanan menjelang aksi bertemu Selangor PKNS
Selasa ini.
“Pemain seperti S. Kunanlan perlu berusaha memperbaiki rentak
permainan. Dia memiliki kelajuan tetapi masih gagal mempamerkan prestasi
yang diharapkan.
“Saya berharap kepulangan Forkey Doe akan menyelesaikan masalah jentera serangan Selangor ketika menentang PKNS nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan