FORTALEZA - Sepanyol hanya perlu mengutip satu mata pada aksi
terakhir Kumpulan B kempen Piala Konfederasi 2013 menentang Nigeria di
Arena Castelao awal pagi esok.
Skuad La Roja yang masih segar dengan kejayaan membelasah Tahiti 10-0
kelmarin, hanya perlu seri dengan Nigeria untuk menempah slot ke
separuh akhir.
Pada aksi menentang Tahiti, Fernando Torres menjaringkan empat gol,
manakala David Villa meledakkan hatrik, sekali gus meletakkan jurulatih
Sepanyol, Vicente del Bosque dalam dilema untuk memilih kesebelasan
utama pasukan itu pada aksi menentang Nigeria.
Sepanyol memulakan kempen kali ini dengan hambar apabila sekadar
menang tipis 2-1 ke atas Uruguay dalam perlawanan pembukaan 16 Jun lalu.
Setakat ini, hanya pemain pertahanan, Sergio Ramos yang beraksi dalam
dua perlawanan, manakala Xavi, Andres Iniesta dan Cesc Fabregas
dijangka disenaraikan semula pada perlawanan terakhir itu nanti.
Berbanding Sepanyol yang hanya perlu mencuri satu mata, Nigeria pula
perlu menang sekurang-kurang empat gol sekiranya berhasrat untuk mara ke
separuh akhir.
Nigeria yang menewaskan Tahiti 6-1 pada aksi pembukaan, tewas 1-2
kepada Uruguay, sekali gus berkongsi tiga mata dengan pasukan daripada
Amerika Selatan itu.
Uruguay dijangka tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Tahiti
pada aksi terakhir manakala Nigeria menghadapi misi berat untuk
menewaskan juara Eropah dan dunia, Sepanyol.
"Semuanya akan tercapai. Ia bergantung kepada apa yang anda inginkan
dan berapa banyak jaringan yang anda mahukan," kata jurulatih Nigeria,
Stephen Keshi.
Perancangan Keshi juga sedikit terganggu selepas penyerang AC Milan,
Nnamdi Oduamadi yang meledak hatrik ketika membenam Tahiti 6-1 mengalami
kecederaan dan tidak beraksi pada aksi menentang Uruguay. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan