Sabtu, 29 Jun 2013

Sepanyol mara ke final impian

NAVAS (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir untuk memberikan kemenangan kepada Sepanyol mengatasi Itali kelmarin.


FORTALEZA, Brazil - Pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque enggan menjadikan faktor keletihan sebagai alasan menjelang pertemuan berdepan Brazil dalam final Piala Konfederasi 2013 di Stadium Maracana, Isnin ini.

Sepanyol berjaya menempah pentas final apabila mengecewakan Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar perlawanan awal pagi semalam.

Situasi itu jelas memberikan kelebihan buat Brazil yang memiliki rehat lebih sehari selepas mengatasi Uruguay 2-1 dalam satu lagi separuh akhir kelmarin.

"Saya enggan mencari sebarang alasan. Ia satu perlawanan yang berbeza.

"Biarpun hanya memiliki 72 jam sebelum sepak mula, kami tetap mengimpikan persembahan terbaik," kata Del Bosque.

Del Bosque yang membantu La Roja mendakap trofi Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 juga memuji barisan pemainnya yang berjaya mengecewakan Itali.

"Persembahan pemain cukup menakjubkan dan mereka membuktikan bahawa mereka layak menyarung jersi Sepanyol.

"Jadi, kita tunggu dan lihat sama ada kami mampu mengulanginya di pentas final," katanya.
Dalam pada itu, kapten Sepanyol, Iker Casillas mengakui Itali benar-benar memberikan tentangan habis-habisan semalam.

"Itali merupakan pasukan yang cukup tersusun dan mampu menyerang sebagai satu pasukan. Saya percaya Brazil tidak mampu beraksi seperti itu.

"Namun, perlawanan akhir kali ini sememangnya dinantikan semua pihak, terasa seolah-olah beraksi di pentas Piala Dunia," kata Casillas. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan