LONDON - Luis Suarez mahu Liverpool mendengar dahulu tawaran
mana-mana kelab termasuk daripada dua gergasi Sepanyol, Barcelona atau
Real Madrid yang mungkin berhasrat melamarnya musim depan.
Penyerang kontroversi kelahiran Uruguay itu dilapor bersedia
meninggalkan kancah Liga Perdana England apabila mendakwa sering menjadi
mangsa laporan akhbar di Britain sebelum ini.
Biarpun masih memiliki kontrak bersama The Reds, Suarez tidak menolak
kemungkinan bakal meninggalkan Anfield dan mahu hasratnya itu
dipersetujui kelab.
Bakal diketepikan pada permulaan musim gara-gara digantung 10
perlawanan kerana menggigit tonggak Chelsea, Barislav Ivanovic dalam
aksi liga musim lalu juga seolah-olah cuba dijadikan alasan oleh Suarez
untuk menyertai Real.
"Saya masih memiliki kontrak bersama Liverpool, tetapi jika suatu
hari nanti saya mahu menyertai kelab lain, mereka perlu mendengar
tawaran itu terlebih dahulu.
"Liverpool perlu mendengar pendapat mana-mana pemain termasuk saya.
"Sudah tentu saya teruja menyertai mana-mana kelab seperti Real Madrid dan Barcelona," kata Suarez.
Pada masa sama, Suarez juga mengakui terharu dengan sokongan
penyokong The Reds biarpun sering diselubungi kontroversi termasuk
didapati bersalah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman
terhadap tonggak pertahanan Manchester United, Patrice Evra sebelum ini.
"Saya tidak akan melupakan segala-galanya di Liverpool. Sokongan penyokong terhadap saya cukup istimewa," katanya.
Dalam pada itu, Suarez juga mempertahankan karakternya di atas padang.
"Saya memang beraksi begini sejak kanak-kanak lagi.
"Mungkin saya memprotes agak melampau terhadap pengadil, tetapi itu sesuatu yang boleh diperbaiki," kata Suarez. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan