UNTUK bertahun lamanya, Superman boleh disifatkan sebagai karakter
dua dimensi. Dia bukan seperti Batman yang mempunyai lebih banyak
transisi dan naluri kerana Batman asalnya seorang manusia biasa.
Superman, sebaliknya, memang dilahirkan sebagai adiwira dari alam
yang berbeza. Ada masanya penonton atau pembaca komik sukar untuk
mempunyai empati atau simpati terhadapnya kerana sedia maklum sifat luar
biasanya.
Begitupun, terima kasih kepada Christopher Nolan, pengarah trilogi
Batman (2005-2012) yang bertindak selaku penulis bersama untuk lakon
layar filem terbaru Superman, Man of Steel.
Nolan mempunyai keupayaan dalam bercerita secara teliti dengan
mendalami setiap perwatakan. Seperti apa yang dilakukan kepada francais
Batman, dia bijak mengadaptasi kisah komik menjadi naskhah yang mampu
dipandang serius.
Untuk Man of Steel, dia bekerjasama dengan rakan penulis The Dark Knight Rises (2012),
David S. Goyer untuk memberi imaginasi baru terhadap Superman, karya DC
Comics yang berusia hampir 75 tahun sejak penerbitan edisi pertama.
Jalinan cerita yang ditulis Nolan dan Goyer memberi kefahaman tentang
asal-usul seorang bayi yang bernama Kal-El yang dihantar ke bumi oleh
ibu bapanya ketika Krypton hampir musnah.
Man of Steel ialah 'character-driven story' tentang bayi itu yang
kemudiannya membesar dengan nama Clark Kent. Dipelihara sepasang suami
isteri yang menemuinya terdampar di sebuah ladang, penonton melihat
sendiri bagaimana Clark 'bertarung' untuk memahami mengapa dia berbeza
dari kanak-kanak lain.
Clark berasa tersisih dan takut dengan kelebihan (atau baginya
sumpahan) yang ada padanya. Ibu bapa angkatnya menasihatkan agar dia
membataskan penggunaan kuasa yang dikurniakan - jangan menjadi terlalu
pantas atau terlalu kuat - kerana bimbang akan menyakiti orang lain dan
dirinya sendiri.
Pertemuan Clark dengan roh bapa kandungnya, Jor-El meyakinkan dia
adalah simbol keamanan dunia sejagat. Transformasi ini - dari seorang
yang tidak menerima hakikat siapa dirinya, kepada seorang hero - adalah
satu tontonan yang mengasyikkan, walaupun pernah diceritakan berulang
kali.
Selain arus penceritaan yang baik, Man of Steel ditangani
pengarah yang pandai membaca visi Nolan dan Goyer. Zack Snyder
(Watchmen, 2009; Sucker Punch, 2011) membawa bersama kepakarannya dalam
aspek teknikal serta imejan yang mengagumkan. Man of Steel adalah perkahwinan cerita dan visual yang tepat.
Filem ini berjalan lancar, tidak terlalu laju atau perlahan. Dibuka
dengan babak pertempuran di Krypton dalam mood genre fiksyen sains, ia
kemudian beralih kepada suasana drama dan emosi. Bagaimana Clark semasa
kanak-kanak dan dewasa 'mencari dirinya' diceritakan secara non-linear.
Sejam selepas itu, tempo Man of Steel bertukar menjadi filem
aksi blockbuster musim panas, apatah lagi dengan kehadiran watak
antagonis utamanya, General Zod. Babak-babak lawan dihasilkan dengan
kemas, menunjukkan kehalusan kerja tangan dan pemikiran Snyder dalam
jabatan audio dan visual.
Synder menjadikan filem ini 'solid' - padu dengan aksi, kesan khas
yang baik dan tema kemanusiaan yang yang menonjol, walaupun ini hanyalah
dongeng. Pada satu-satu masa saya menyangkakan filem ini akan menjadi
bosan, tetapi tidak kerana ia terus-terusan memaku penonton sehingga
cerita selesai.
Man of Steel ialah interpretasi moden tentang Superman yang lebih
sensitif dan mampu wujud di dunia nyata. Ia tidak sama seperti Superman
lakonan Christopher Reeve dari era ibu bapa kita yang lebih mudah,
ringan, memiliki unsur humor yang kuat, serta watak baik dan jahatnya
mempunyai jurang besar.
Saya menyukai karakter General Zod (lakonan Michael Shannon) yang
setara kuat perwatakannya dengan Clark/Superman. Meskipun jahat, Zod
mempunyai niat murni untuk bangsanya. Dia mahu menjadikan bumi sebagai
koloni baru selepas Krypton musnah dan umat manusia baginya adalah
penghalang.
Penonton juga dapat menyaksikan watak Lois Lane sebagai wanita yang
lebih kuat, matang dan berdikari - bukan mengada-ada, kepala angin dan
lemah seperti mana sebelum ini. Amy Adams menggalas peranan ini
sebaiknya. Perhubungan di antara Lois dan Clark/Superman juga dibentuk
dengan unik.
Kerana Man of Steel kisah permulaan Superman, tidak banyak
babak cinta atau romantis di antara mereka. Begitupun, mereka saling
tertarik kerana Lois mengetahui identiti sebenar Clark dan Clark pasti
Lois adalah wanita yang boleh dipercayai untuk merahsiakannya. Itu
adalah faktor tarikan yang sempurna.
Sasa dan tampan, Henry Cavill memenuhi kriteria Clark/Superman secara
fizikal berbanding Brandon Routh dari Superman Returns (2006).
Menariknya, magnet Cavill bukan sekadar paras rupa, tetapi dalam
kegagahan itu, dia membawa kelembutan dan kemurnian seorang adiwira yang
mahu menjadi insan biasa.
Hans Zimmer memberikan skor muzik yang cantik dan berani memberi
perubahan kerana tidak cuba untuk meniru 'trademark' John Williams. Saya
juga sukakan penamatnya yang memberikan penonton harapan untuk filem
sekuel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan