LONDON - Bintang penyerang Manchester City, Carlos Tevez dikatakan
dalam perjalanan ke Itali dan bakal mengikat perjanjian bernilai 10 juta
pound (RM49.46 juta) dengan AC Milan.
Menurut laporan media Itali, Tevez, yang akan tamat kontrak musim
panas tahun depan ditawarkan kontrak tiga tahun bernilai 15 juta pound
(RM74.20 juta).
Bintang antarabangsa Argentina berusia 29 tahun itu sebelum ini
menyuarakan hasrat untuk menamatkan kontrak sedia ada dan meninggalkan
City secara percuma musim depan, namun hasrat tersebut nyata tidak
menguntungkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Pengurus baharu City, Manuel Pellegrini bercadang untuk bercakap
dengan semua pemainnya yang berbaki setahun kontrak supaya pergi pada
musim panas ini.
Walaupun kontrak tiga tahun Pellegrini secara rasminya akan bermula
Isnin depan, namun dia tidak dijangka akan muncul pada sesi latihan
kelab sehinggalah minggu pertama Julai.
Pengendali kelahiran Chile itu dikatakan mahu melepaskan Tevez untuk
membawa masuk perancang utama Sepanyol, Isco dari Malaga dengan bayaran
30 juta pound (RM148.4 juta).
City telah pun menghantar wakil untuk berunding dengan Malaga, namun
Pengarah Sukan Real Madrid, Zinedine Zidane pula mengadakan pertemuan
dengan bapa Isco yang juga ejen pemain berusia 21 tahun itu.
Selain Milan, juara Liga Itali, Juventus juga turut berminat untuk mendapatkan Tevez.
Juventus juga telah mengadakan rundingan rasmi untuk mendapatkan Tevez dengan bayaran 9 juta pound (RM44.51 juta). - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan