LONDON - Manchester United bakal mengalihkan
tumpuannya untuk mendapatkan pemain tengah harapan Barcelona, Thiago
Alcantara seandainya mereka gagal meyakinkan Cesc Fabreags untuk kembali
ke kancah Liga Perdana Inggeris.
Pengurus baharu United, David Moyes yang mahu menambah kreativiti di
bahagian tengah sudah pun memulakan usaha untuk memperkuatkan skuad.
Bekas kapten Arsenal, Fabregas berada dalam senarai teratas juara
Liga Perdana itu, namun terdapat banyak halangan untuk membolehkan
perjanjian dicapai.
Minggu ini, Fabregas memberitahu Movistar: "Orang ramai terlalu
banyak bercakap tetapi kebenarannya, tiada siapapun yang bercakap dengan
saya.
"Saya mahu memburu kejuaraan di Barcelona, ia adalah kelab saya dan
sejak kecil saya mengimpikan untuk bermain di sini. Jadi, saya akan cuba
kekal di sini selama yang mungkin dan bermain dengan sebaiknya."
Thiago, 21, pula semakin mencuri tumpuan selepas mempamer aksi hebat,
termasuk meledak hatrik dalam perlawanan akhir ketika menjulang
Sepanyol muncul juara Kejohanan Eropah Bawah 21 tahun.
Begitupun, Moyes sudah lama mengagumi bintang muda Barcelona itu,
iaitu sejak dia berusia belasan tahun, namun ketika dia menjadi
pengendali di Everton, kelab tersebut tidak mempunyai kewangan yang
kukuh untuk mendapatkan pemain berbakat besar itu.
Thiago, anak kepada anggota skuad Brazil yang menjulang Piala Dunia
1994, Mazinho tidak begitu gembira sejak tiba di Nou Camp pada 2011
kerana jarang diturunkan.
Dia mungkin sedia dibebaskan dengan bayaran 15 juta pound (RM74.19 juta).
Ketika menandatangani kontrak dua tahun lalu, terdapat klausa
mengatakan pemain tengah itu mesti beraksi sekurang-kurangnya 30 minit
dalam 60 peratus perlawanan.
Dia bagaimanapun beraksi kurang dari yang dijanjikan dengan hanya bermain 15 minit daripada 36 penampilan. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan